suria

Umno Wilayah Persekutuan sokong Najib

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan menyokong dan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memimpin parti sebagai Presiden seperti yang disaran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam proses peralihan kuasa sebagai penggantinya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno berkenaan Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, Umno Wilayah Persekutuan amat terharu dengan keikhlasan Abdullah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno demi masa depan parti dan juga negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno Bahagian Setiawangsa secara rentak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

"Pak Lah telah membuat keputusan yang ikhlas melalui satu pengorbanan yang cukup besar. Saya berharap semua pihak termasuk rakyat dan anggota Umno perlu menghormati keputusanya dan beri sokongan yang padu kepada penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ini," kata Zulhasnan yang juga Ketua Umno Bahagian Setiawangsa.

Beliau menggesa semua bahagian di Wilayah Persekutuan mencalonkan Najib sebagai Presiden manakala bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden terpulang kepada perwakilan dan juga peringkat akar umbi di bahagian masing-masing untuk mencalonkan pemimpin pilihan mereka.

"Umno Wilayah Persekutuan tidak sekat mana-mana calon tetapi untuk jawatan Presiden kita kena hormati keputusan pucuk pimpinan parti dan mencalonkan Najib Tun Razak. Kita akan sokong Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi Presiden Umno. Inilah ikrar kami dari Wilayah Persektuan," tegasnya.

Beliau juga menyarankan anggota Umno memilih pemimpin yang kuat bekerja sebagai satu pasukan dan mempunyai idea bernas untuk memperkasakan parti dan jangan salah memilih pemimpin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain