suria

MIC serah memorandum bantah MAPJ roboh kuil

T. MOHAN menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad di Shah Alam hari ini.
T. MOHAN menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad di Shah Alam hari ini.
T. MOHAN menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Kira-kira 300 anggota MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini bagi membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan Kuil Sri Mahakaliaman di Ampang, dekat sini,

Kumpulan itu yang diketuai Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkumpul kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk dan berhimpun di depan bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada sepanduk itu tertera perkataan "Pandai Konfius Rakyat (PKR)", "Masyarakat India kena tipu" dan "Anwar pembelot".

Perhimpunan itu berakhir kirakira pukul 12 tengah hari selepas Mohan menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk disampaikan kepada Abdul Khalid.

Mohan ketika ditemui pemberita berkata, memorandum itu antara lain menuntut kerajaan negeri membina semula kuil berkenaan yang telah dirobohkan serta memberikan tapak khas untuk pembinaan kuil itu berserta dokumen yang lengkap.

Beliau berkata, memorandum itu turut menuntut agar kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengotakan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas iaitu apabila mereka mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) mereka akan mempastikan bahawa tiada lagi kuil akan dirobohkan.

"Kita sedar banyak kuil di Malaysia tiada permit dan kena memohon tanah kalau nak bina kuil tetapi itu tidak bermakna boleh robohkan kuil sesuka hati tanpa prosedur yang betul," katanya.

Mohan menjelaskan pada 2002 dan 2007 kuil Sri Mahakaliaman pernah dirobohkan semasa pemerintahan kerajaan BN dan selepas MIC mengemukakan bantahan, ia dibina semula di tapak yang sama. BERNAMA

Artikel Lain