suria

Aliran keluar FDI Malaysia atasi trend masuk

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mengatasi pengaliran masuk sebanyak RM8.96 bilion pada 2007, demikian menurut Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNCTAD) bagi 2008.

Laporan yang dikeluarkan di sini itu menyatakan bahawa pengaliran keluar FDI negara ini melonjak 81.9 peratus kepada RM38 bilion pada 2007 berbanding RM20.89 bilion pada 2006.

Sementara itu, negara ini menerima FDI bernilai RM29.04 bilion tahun lepas, meningkat sebanyak 38.9 peratus daripada RM20.9 bilion setahun sebelumnya.

Dari segi stok FDI, stok yang mengalir keluar susut sebanyak 61.3 peratus kepada RM201.3 bilion tahun lepas daripada 124.8 bilion pada 2006 manakala stok yang mengalir masuk bertambah sebanyak 42.5 peratus kepada RM265.2 bilion daripada RM186 bilion.

Ketika membentangkan laporan itu, ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Aznam Yusoff, berkata peningkatan ketara pelaburan yang mengalir keluar itu disebabkan oleh pengambilalihan rentas sempadan oleh firma, yang menyaksikan urus niaga dijalankan, khususnya, dalam kegiatan kewangan dan perkhidmatan lain.

"Pelaburan luar negara Malaysia semakin meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan ini mencerminkan cita-cita syarikat watan kita yang bergiat dalam pengeluaran antarabangsa atas pelbagai sebab, untuk berkembang di luar negara termasuk membina atau meraih jenama serta teknologi, dan mendapatkan sumber alam," katanya sambil menambah bahawa dasar-dasar kerajaan memang menyokong pelaburan di luar negara.

Laporan itu juga meletakkan Petronas pada kedudukan ke-56 daripada 100 syarikat transnasional bukan kewangan (TNC) terunggul berdasarkan aset luar negara dan kedua selepas Hutchison Whampoa Limited dari Hong Kong berdasarkan aset luar negara antara 100 TNC bukan kewangan terunggul dari negaranegara membangun.

Syarikat bukan kewangan Malaysia yang lain dari kategori negara membangun yang tergolong dalam 100 terunggul termasuklah YTL Corp (27), Genting (43), Telekom Malaysia (53), Sime Darby (61) dan Maxis (68).

Zainal, yang juga seorang pakar ekonomi, berkata, beliau percaya prospek bagi negara ini akan terus cerah meskipun pada kadar yang lebih sederhana memandangkan kebimbangan tentang kesan krisis kewangan dan kelembapan ekonomi yang tercetus akibat masalah dalam pasaran gadai janji subprima di Amerika Syarikat masih belum diatasi.

"Menurut UNCTAD, peratusan syarikat yang merancang peningkatan besar pelaburan di luar negara akan berkurangan dalam beberapa tahun akan datang tetapi keadaan persekitaran pelaburan yang bertambah baik di rantau ini akan terus menarik pelabur," tegasnya.

Ini, katanya, termasuklah liberalisasi FDI, pertumbuhan ekonomi berdaya tahan dan pembangunan industri yang kukuh.

Zainal berkata, langkah-langkah meneruskan liberalisasi ini dengan giat, khususnya bagi sektor perkhidmatan, serta prosedur kemasukan yang cekap dan insentif pelaburan yang menarik merupakan petanda baik bagi pelabur asing.

Di peringkat global, pengaliran masuk FDI meningkat 30 peratus pada 2007 dan mencecah AS$1,833 bilion (RM6,338.5 bilion), jauh melebihi tahap tertinggi yang dicatatkan pada 2000, meskipun berlaku krisis kredit dan kewangan dunia yang bermula dalam enam bulan pertama 2007. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain