suria

PM: Kerajaan akan beri fokus merangsang pertumbuhan ekonomi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan yang mengambil kira kegawatan krisis kewangan yang berpunca dari Amerika Syarikat, akan memberikan fokus merangsang dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri berkata, dengan inflasi yang sudah mencapai kemuncaknya dan mulai menurun, fokus kini sepatutnya dihalakan untuk merangsang dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

"Dengan mengambil kira cabaran di hadapan, kita akan terus merangka satu pakej komprehensif bagi menangani isu ekonomi semasa serta bagi jangka sederhana dan panjang," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Ekonomi di sini hari ini.

Katanya, beberapa langkah dalam Bajet 2009 untuk mengukuhkan ketahanan dan daya saing ekonomi Malaysia serta untuk meringankan beban inflasi dalam kumpulan rendah dan pertengahan telah diumumkan.

Kumpulan Kerja Majlis Ekonomi yang diketuai oleh para pakar sedang mengkaji beberapa langkah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Beliau menekankan bahawa Malaysia berhadapan dengan tanggung jawab mengekalkan lajakan pertumbuhannya dan menampan impak jika berlaku kemelesetan.

Sambil memuji langkah liberalisasi Bank Negara bagi sektor perbankan dan kewangan seperti yang ditetapkan dalam pelan induk sektor kewangan pada 2001, katanya sektor perbankan dan kewangan Malaysia terus kekal kukuh dan dipantau.

"Pendedahannya terhadap aset yang bermasalah dan kegagalan institusi kewangan di AS sangat terhad," katanya.

Bagaimanapun, kebimbangan yang besar ialah permintaan eksport yang semakin lemah dan aliran masuk pelaburan ke Malaysia berikutan kemelesetan ekonomi di AS dan Eropah dan juga di Jepun memberi kesan menurunkan ekonomi serantau. BERNAMA

Artikel Lain