suria

Dakwaan Teresa ditahan kerana 'ahli MCA', Tee Keat cabar Kit Siang

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini mencabar penasihat DAP Lim Kit Siang membuktikan dakwaan beliau kononnya beberapa anggota MCA Selangor telah membuat laporan polis hingga menyebabkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok daripada DAP, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Beberapa hari selepas Lim Kit Siang membuat dakwaan itu, kami membuat siasatan dan mendapati tuduhan itu tidak benar. Saya mencabar beliau supaya menunjukkan bukti bahawa MCA telah meminta anggotanya membuat laporan polis terhadap Teresa Kok. Perkara ini tidak benar sama sekali.

"Sekiranya beliau tidak boleh menunjukkan bukti, maka beliau perlu memohon maaf, bukan saja kepada MCA, tetapi juga kepada rakyat dan masyarakat Cina," kata Ong kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen MCA Selangor oleh presiden parti Datuk Seri Ong Ka Ting di ibu pejabat MCA di sini hari ini.

Tee Keat, yang akan bertanding jawatan presiden MCA bulan depan, berkata sekiranya Lim gagal menunjukkan bukti tentang tuduhannya itu atau tidak memohon maaf, maka MCA akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap beliau.

Ditanya tentang bentuk tindakan yang akan diambil itu, beliau berkata: "Kami akan buat keputusan tentang perkara itu apabila tiba masanya."

Tee Keat berkata tuduhan Lim itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan bertujuan mewujudkan kekeliruan, bukan saja dalam di kalangan masyarakat Cina tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, berhubung pendirian MCA mengenai ISA.

"Kami telah nyatakan selama ini bahawa ISA perlu dikaji semula dengan teliti. Kami bercakap tentang perkara ini dalam Kabinet dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (mesyuarat). Sememangnya, kami tak mengharapkan DAP akan berterima kasih tentang perkara ini.

"Kami perlu dedahkan jenis politik yang menjadi mainan DAP. Kami beri kepada mereka tempoh masa yang berpatutan bagi mengemukakan bukti, jika tidak, Lim Kit Siang kena minta maaf," kata Tee Keat, yang juga Menteri Pengangkutan.

Teresa Kok ditahan mengikut ISA pada 12 Sept dan dibebaskan Jumaat lepas. Menyentuh perkara berasingan, Tee Keat, yang juga ketua MCA Selangor, berkata oleh kerana negeri itu kini ditadbir oleh pembangkang, MCA Selangor perlu mengubah kedudukannya untuk berperanan sebagai pemerhati yang berkesan terhadap segala tindak-tanduk kerajaan Pakatan Rakyat(PR).

"Dalam hubungan ini, usaha memupuk kesedaran orang ramai tentang sesuatu isu melalui pendidikan politik, adalah amat penting.

MCA, sebagai antara parti arus perdana, tidak sepatutnya sekalikali melencong daripada teras utama dalam perjuangan politik kami, yang nampaknya telah mempengaruhi semua aspek kehidupan seluruh penduduk negara ini," kata beliau.

Beliau berkata sebagai pembangkang di Selangor, fokus MCA ialah untuk berkhidmat dan berdamping dengan masyarakat pelbagai kaum, "sebelum kami dapat keluar dengan berkesan daripada bayangbayang sebuah parti yang bersifat monoetnik".

Katanya MCA sedang berdepan dengan ujian yang belum pernah dilaluinya sebelum ini, terutama selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac, dan dalam menghadapi keadaan ini, MCA perlu terus bersatu.

"Tak ada ruang untuk bergaduh dan berbalah. Sebaliknya, kami perlu wujudkan ruang yang secukupnya untuk bersaing secara sihat dan bagi membenarkan wujudnya pelbagai pandangan atas nama demokrasi," kata Tee Keat.BERNAMA

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain