suria

Penganalisis politik sifatkan tukar portfolio caturan politik Abdullah

PETALING JAYA: Pertukaran portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sebagai proses penyerahan kuasa seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu pada Jun 2010.

Bagaimanapun bagi Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berpendapat pertukaran jawatan penting dalam Kabinet ini sebagai sesuatu yang tidak rasional.

"Saya tidak nampak apa rasionalnya pertukaran jawatan tersebut pada masa sekarang melainkan perkara ini adalah sebahagian daripada percaturan politik mereka," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun beliau berkata sebagai Perdana Menteri, Abdullah mempunyai hak untuk membuat sebarang pertukaran jawatan dalam Kabinet beliau mengikut kesesuaianya.

"Tiada siapa boleh persoalkan tindakan beliau itu, mungkin juga selepas ini ada rombakan kecil dalam Kabinet memandangkan Datuk Zaid Ibrahim telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Tapi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.

Tambah beliau, pertukaran jawatan ini tidak boleh dilihat sebagai proses peralihan kuasa secara berperingkat antara Abdullah dan Najib.

"Pertukaran jawatan dan peralihan kuasa adalah dua perkara yang berbeza.

"Kuasa menukarkan jawatan adalah pada Perdana Menteri, tetapi kuasa untuk berlakunya sesuatu peralihan dalam parti terletak kepada ahli akar umbi," katanya.

Menurut Azeem, pelan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh Abdullah dan Najib masih kurang jelas kerana persetujuan tersebut hanya berlaku pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Mengikut Perlembagaan Umno, kuasa untuk memilih sebarang jawatan dalam parti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden terletak kepada keputusan akar umbi di peringkat cawangan dan juga bahagian," katanya.

Namun jelas beliau hingga kini keputusan di peringkat bahagian masih belum dicapai kerana persidangan peringkat itu hanya akan bermula selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Jadi Azeem berpendapat, walaupun proses peralihan kuasa berlaku dengan kadar segera iaitu sebelum pemilihan peringkat pusat pada Disember nanti, keputusan tersebut berkemungkinan akan berubah kerana pencalonan peringkat bahagian masih belum diterima.

"Jika berlakunya peralihan kuasa sekarang, mungkin pada Disember nanti ada lagi peralihan kuasa yang bakal berlaku kerana pada masa itu kehendak ahli mungkin berbeza setelah keputusan di peringkat bahagian sudah dicapai," katanya.

Dalam konteks ini, Azeem berkata Abdullah mungkin sedang mengatur strategi bagi menyelamatkan karier politiknya sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

"Ini biasa dalam politik, setiap orang yang mempunyai kepentingan pasti akan cuba mempertahankannya.

"Namun apa yang penting sekarang ialah kita mahu dengar suara semua ahli akar umbi Umno yang dikatakan berjumlah 3 juta orang itu," katanya.

Ujar beliau lagi, tindakan Abdullah ini juga mungkin di sebabkan oleh gesaan banyak pihak yang inginkan agar beliau berundur dengan lebih cepat iaitu sebelum Jun 2010.

"Faktor ini juga berkemungkinan telah mendorong Abdullah untuk merangka pelan yang menunjukkan seolah-olah beliau sedang berundur secara pelan-pelahan.

"Dengan cara ini mungkin dapat memuaskan hati banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengharapkan Abdullah memikirkan semula tempoh peralihan kuasanya," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan terbaru Perdana Menteri yang menyifatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu ancaman ekonomi dan keselamatan negara, beliau turut menyokong kenyataan itu.

Azeem turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang mengamalkan budaya politik yang tidak sihat dengan cuba merampas mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan BN untuk memerintah negara di peringkat Pusat.

"Pilihan raya umum sudah berakhir Mac lalu, jadi mengapa beliau masih lagi berkempen? Jika beliau nak ambil alih kerajaan, perkara itu perlu dilakukan mengikut saluran yang betul iaitu melalui pilihan raya umum yang ke-13 nanti," katanya.

Beliau berkata strategi Anwar dengan memujuk Ahli Parlimen BN untuk melompat parti bagi menyertai Pakatan Rakyat adalah tidak beretika serta menolak prinsip demokrasi.

"Bagaiamana Anwar sering melaung-laungkan bahawa beliau adalah pemimpin yang mempertahankan amalan demokrasi sedangkan tindak tanduknya jelas membelakangi demokrasi.

"Ini bukan cara yang betul jika nak jadi Perdana Menteri, beliau harus tunggu dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Menurut Azeem sememangnya tindakan Anwar yang sering memperkatakan mengenai penubuhan kerajaan baru memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Keyakinan pelabur asing sudah pasti akan terhakis kerana mereka beranggapan Malaysia sedang menghadapi pergolakan politik," katanya.

Anwar juga dianggap terlalu rakus untuk mencapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri tanpa memikirkan masa depan negara secara keseluruhannya.

"Adalah tidak adil jika beliau berusaha untuk menjadi Perdana Menteri dengan merosakkan negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain