suria

Kredibiliti dipersoal, mampukah Anwar kotakan impian

ANALISIS: Sasaran 16 September yang berusia enam bulan berakhir semalam. Hari ini kehidupan rakyat berjalan seperti biasa, meskipun pelbagai khabar angin berterusan sehingga lewat malam.

Pakatan Rakyat mengadakan sidang akhbar mengumumkan perkembangan tentang usaha menggantikan kerajaan semasa.

Di kalangan pemerhati dan penganalisis politik terdapat dua bentuk pandangan.

Ada yang menyifatkan perkembangan terbaru khususnya sepanjang tempoh pasca-pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu sebagai satu lagi taktik Ketua Umum Pakatan Rakyat cuba mengalihkan pandangan masyarakat umum. Lebih-lebih lagi apabila Anwar ataupun Pakatan Rakyat mengumumkan selepas ini mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyatakan nama Ahli-ahli Parlimen yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dan bekerjasama untuk memastikan peralihan kuasa secara aman. Mengapa nama itu perlu didedahkan? Bukankah ia lagi merbahaya dan berisiko daripada didedahkan kepada umum dengan dihadiri si wakil rakyat yang mahu melompat parti.

"Mungkin kerana beliau (Anwar) telah gagal, mungkin selepas cuba memancing wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak, tetapi gagal, ini mungkin taktik baru, mahu jumpa Perdana Menteri, mungkin satu taktik baru," kata Presiden JUST, Prof. Dr. Chandra Muzaffar.

Bekas Timbalan Presiden PKR ini menjelaskan, "ini mungkin satu taktik baru seorang pemimpin yang gagal."

Perkembangan terbaru ini menunjukkan Anwar tidak mempunyai wakil rakyat pada jumlah yang banyak untuk mencapai sasarannya, kata beliau.

Ataupun katanya, jika ada sejumlah wakil rakyat tetapi didedahkan kepada umum bimbang ia boleh dinafikan oleh anggota terbabit atas alasan masing-masing.

Beberapa penganalisis politik masih percaya yang Anwar masih mempunyai jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.

Anwar pada sidang media semalam mengatakan bahawa pihaknya mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang secukupnya untuk membentuk kerajaan baru.

"Bilangan ini meningkat setiap jam, sehingga kini ia sudah melebihi 31 Ahli Parlimen.

"Ini bukan cakap kosong. Saya bertanggungjawab ke atas kenyataan saya tetapi kami memutuskan untuk bersabar dan menggunakan laluan aman (untuk membentuk kerajaan)," katanya.

Menurut Anwar, nama-nama ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti menyertai mereka tidak dapat didedahkan atas sebab keselamatan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat walaupun Anwar tidak mengumumkannya semalam, rakyat masih menaruh kepercayaan yang beliau akan berjaya membentuk kerajaan dalam masa terdekat.

Pada 9 September lalu, Anwar mengakui jika tarikh 16 September tidak menjadi pihaknya akan beralih ke 20 September atau 21 September kerana ia juga merupakan tarikh bersejarah bagi pihaknya.

Tanggal 20 September dirujuk kepada tarikh 10 tahun lalu apabila beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Anwar berjaya menimbulkan keadaan kelam-kabut dan rakyat yang terpengaruh dengan beliau akan tertunggu-tunggu tarikh pengumuman itu akan dibuat,” kata Ahmad Atory kepada mStar Online.

Jelasnya, walaupun di atas kertas apa yang diperkatakan Ketua Pembangkang itu mungkin tidak nampak, tetapi ia tidak mustahil akan berlaku.

“Jika kita lihat atas kertas mungkin payah untuk berlaku. Tapi kita tidak dapat baca hati ahli-ahli Parlimen yang akan menyeberang,” katanya.

Tambah beliau, mengikut logik akal Anwar tidak perlu mengumumkan perkara tersebut kepada media, sebaliknya beliau perlu melaksanakan perancangannya untuk membentuk kerajaan secepat mungkin bagi mengembalikan kenyakinan rakyat.

“Jika Anwar tidak dapat bentuk kerajaan baru dalam satu, dua hari ini kredibiliti dia sebagai Ketua Pembangkang akan jatuh,” ujarnya.

Ahmad Atory juga menarik perhatian mungkin juga Anwar menggunakan peluang ini untuk bermain perang psikologi dengan Perdana Menteri agar beliau meletakkan jawatannya.

“Mungkin ini satu taktik Anwar untuk menggesa Abdullah meletakkan jawatan, siapa tahu,” katanya.

Jelasnya, dalam politik tiada apa yang mustahil dan politik juga menghalalkan cara.

“Ini bermakud Anwar mungkin menggunakan semua taktik ini untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Menurut Ahmad Atory, Anwar akan menggunakan peluang yang ada untuk mencapai cita-cita politiknya.

“Tempat Pak Lah sekarang ini sepatutnya milik Anwar sepuluh tahun yang lalu. Jadi saya lihat dia (Anwar) punya agenda untuk mencapai cita-cita itu sekarang,” ujarnya.

Namun demikian, Ahmad Atory berkata, beliau tidak percaya seratus peratus Anwar akan mampu untuk membentuk kerajaan dengan mengajak Ahli Parlimen BN melompat parti.

“Peluang untuk bentuk kerajaan saya sifatkan 50:50. Kita tidak boleh memperkecilkan kredibiliti Anwar. Cuma apa yang penting kerajaan BN jangan terlalu yakin dengan apa yang mereka miliki,” katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman, tindakan Anwar tidak mengumumkan nama ahli-ahli Parlimen BN kerana mengambil ingin langkah berhati-hati.

“Anwar tidak mendedahkannya kerana mengambil langkah berhati-hati agar agenda yang dirancangnya berlangsung tanpa halangan,” katanya.

Nizammuddin berpendapat beliau berbuat demikian kerana beliau yakin dan mampu memperoleh jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Menurut beliau, terdapat tiga cara yang boleh digunakan oleh Perdana Menteri untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku. Namun setiap perkara punya risiko tersendiri.

“Pertama, Abdullah meletakkan jawatan secara sukarela. Kedua Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula,” katanya.

Namun demikian, Nizammuddin berkata, pilihan kedua bakal mengudang padah kerana dengan keadaan politik semasa yang berlaku akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr. Mohd Agus Yusof sealiran pandangan Chandra.

Tegas beliau, Anwar hanya sandiwara semata-mata.

“Saya yakin senarai itu tidak ada atau tidak wujud langsung. Kalau ada kenapa tak mahu dedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang akan melompat,” katanya.

Jelasnya, Anwar tidak perlu berdolak-dalik dengan member pelbagai alasan.

“Yang penting kerajaan BN tidak perlu takut dengan Anwar dan tidak perlu terikut-ikut dengan permainan beliau,” katanya.

Menurut Agus, negara perlu mengubah cara berpolitik dan kembali kepada aspek membangunkan negara.

Di satu sudut, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Prof Madya Dr. Ghazali Mahyuddin mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Kita tunggu sahaja bila Anwar nak umumkan. Nak cakap sekarang pun tak boleh kerana kita tak tau siapa yang nak menyeberang,” katanya.

Nampak gaya, Anwar masih bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Impiannya masih segar. Sasaran masih hidup.

Malah, pada masa yang sama kredibiliti Anwar juga di ambang kemerosotan. Anwar pun sedar bahawa jika tidak dilakukan ia akan memusnahkan keyakinan penyokong-penyokongnya dalam jangka panjang. Khususnya ketika berkempen di Permatang Pauh, Anwar dan Pakatan Rakyat berkempen atas moto Ke Putrajaya Bermula Di Permatang Pauh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain