suria

Universiti Islam Maya, Gabungan 51 Negara OIC Bakal Ditubuh Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Sebuah universiti Islam maya, yang menggabungkan 285 universiti Islam daripada 51 negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), akan ditubuh pada tahun depan.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata penubuhan universiti itu dikendalikan Persekutuan Universiti-Universiti Islam Dunia (FUIW) yang menyediakan platform pendidikan mudah kepada masyarakat Islam.

"Ini adalah satu cara penyebaran ilmu secara meluas kepada semua masyarakat Islam seluruh dunia yang hanya memerlukan mereka berinteraksi atas talian tanpa perlu ke luar negara untuk belajar di mana-mana universiti Islam," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat ke-4 Lembaga Pemegang Amanah Universiti Islam Maya FUIW di sini, Sabtu.

Beliau berkata universiti maya itu akan menghubungkan semua universiti terbabit dalam satu sistem dan proses pembelajaran dikendali oleh pensyarah semua universiti tersebut mengikut kursus serta masa yang dipilih pelajar.

Katanya, pembelajaran akan dilaksana secara atas talian termasuk berkomunikasi melalui sidang video dan perpustakaan maya, yang membolehkan pelajar mendapat bahan rujukan. Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Sharjah, Universiti Islam di Uganda, Universiti Kuwait, Universiti Ekonomi Negara Azerbaijan dan Universiti Sheikh Anta Diop-Senegal.

Zaleha berkata universiti maya itu tidak hanya tertumpu kepada pengajian Islam sebaliknya turut menyediakan kursus yang sama seperti di universiti umum seperti perbankan, seni bina, kejuruteraan dan perubatan.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Am FUIW Profesor Dr El-Gharieb Zaher Esmail berkata sebagai permulaan, sijil universiti maya tersebut akan diterima pakai di semua negara OIC, yang membolehkan siswazah memohon kerja di negara Islam sebelum diperluas ke seluruh dunia.

Beliau berkata pembelajaran akan dijalankan dalam tiga bahasa utama iaitu Arab, Inggeris dan Perancis manakala tempoh pengajian bergantung kepada kursus yang diambil.

"Kami akan terus membincangkan kualiti, sukatan pelajaran, penilaian pelajar dan kewangan universiti maya Islam ini pada bulan April bagi melihat bagaimana kita boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai," katanya.

Katanya, meskipun berkonsep maya, universiti itu tetap mempunyai ibu pejabat di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu bagi memudahkan orang ramai berurusan. -BERNAMA

Artikel Lain