suria

Lagi ‘pembaharuan’ dilaksanakan... Arab Saudi anjur pertunjukan fesyen pakaian renang pula

Pertunjukan fesyen pakaian renang di Arab Saudi pada Jumaat lalu. -Foto AFP

ARAB Saudi menganjurkan pertunjukan fesyen pertamanya yang menampilkan model pakaian renang pada Jumaat.

Pertunjukan fesyen yang berlangsung di tepi kolam itu menampilkan karya pereka fesyen dari Maghribi, Yasmina Qanzal yang kebanyakannya 'sut sehelai' berwarna merah, kuning air dan biru.

Kebanyakan model wanita dilihat mendedahkan bahu, dada dan sebahagian anggota badan.

"Memang benar negara ini sangat konservatif, tetapi kami cuba menunjukkan pakaian renang elegan yang mewakili dunia Arab.

"Apabila kami datang ke sini, kami difahamkan bahawa pertunjukan fesyen pakaian renang di Arab Saudi merupakan detik bersejarah, kerana ia adalah kali pertama acara sedemikian diadakan," katanya.

Qanzal menambah, ia diibaratkan seperti satu 'penghormatan' untuk dirinya terlibat dalam 'detik bersejarah' tersebut.

Pertunjukan itu berlangsung pada hari kedua Minggu Fesyen Laut Merah yang julung kali diadakan di Resort Laut Merah St Regis, yang terletak di luar pantai barat Arab Saudi.

Resort tersebut adalah sebahagian daripada Red Sea Global, iaitu salah satu projek di tengah-tengah program reformasi sosial dan ekonomi Wawasan 2030 Arab Saudi, di bawah seliaan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

Putera Mohammed yang menjadi pewaris takhta pada 2017, telah memulakan satu siri pembaharuan sosial yang dramatik sejak beberapa tahun lalu.

Perubahan itu termasuk melonggarkan sekatan terhadap muzik dan tarian selain memperkenalkan pawagam dan festival muzik campuran jantina. -Indiatoday

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain