suria

[VIDEO] Tak sayang nyawa... Mat salih suka-suka hati main rollerblade tengah bandar masa trafik sesak

Lelaki itu kelihatan bermain rollerblade di jalan raya ketika trafik sesak.

KETIKA keadaan trafik sesak dan sibuk dengan kenderaan, kelibat seorang lelaki bermain kasut roda atau (rollerblade) di jalanan menarik perhatian ramai warga Bangkok, Thailand.

Lebih mengerikan apabila lelaki warga asing itu tidak mengenakan sebarang alat perlindungan diri.

Sehubungan itu lelaki berkenaan dikenakan denda 1,000 bhat (RM124) kerana membahayakan diri sendiri dan pengguna lalulintas lain.

Menurut pihak polis Lumphini, lelaki warganegara Kanada dikenali sebagai Jordan Joseph McIver itu mengaku melakukan kesalahan berkenaan selepas aksi beraninya dirakamkan orang awam.

Kata polis lagi, McIver menjelaskan bahawa dia sedang bersenam dan meneroka bandaraya Bangkok dan tidak mengetahui bahawa sukan lasak seperti itu bertentangan dengan undang-undang negara berkenaan.

Menerusi rakaman yang tular, McIver kelihatan meluncur laju dan lebih pantas daripada kenderaan di sekeliling yang dilaluinya.

Aksinya hangat dibincangkan di media sosial sekali gus mengundang kritikan warga maya.

Tindakannya dianggap membahayakan nyawa kerana keadaan jalan yang tidak sesuai serta tiada alat perlindungan diri. - COCONUTS.CO

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain