suria

Takziah... kanak-kanak 5 tahun jatuh perigi sedalam 32 meter disahkan meninggal dunia

Rayan dilaporkan meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat membawanya keluar.

ISTANA Diraja Maghribi mengesahkan kanak-kanak yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter, Rayan Awram, telah meninggal dunia.

Raja Maghribi, Raja Mohammed VI membuat panggilan telefon kepada ibu bapa Rayan, Khaled Awram dan Wassima Khersheesh, untuk mengucapkan takziah kepada keluarga atas kematian tragis kanak-kanak tersebut, kata pihak istana dalam satu kenyataan.

Raja Mohammed juga menzahirkan penghargaannya atas usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan penyelamat sejak Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk cemas, operasi menyelamat budak 5 tahun jatuh perigi sedalam 30 meter diteruskan

Kanak-kanak lelaki tersebut dibalut dalam selimut kuning selepas dia dibawa keluar dari terowong yang digali khusus untuk operasi menyelamat.

Dia segera dikejarkan dengan ambulans ke helikopter untuk diterbangkan ke hospital terdekat, sejurus sebelum pihak istana mengeluarkan kenyataan mengesahkan kematiannya.

Dilaporkan, Rayan meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat berjaya membawanya keluar dari lubang perigi.

rayan 1

Rayan terjatuh ke dalam perigi sejak Selasa.

Terdahulu, seorang doktor yang menyertai pasukan penyelamat turut memasuki terowong untuk memeriksa keadaannya, sebelum dia dibawa keluar.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada paru-paru dan tulang belakang.

Rayan terperangkap dalam perigi berhampiran rumahnya di kampung kecil Ighrane, kira-kira 125 batu dari bandar Chefchaouen, sejak petang Selasa.

rayan 3

Penduduk setempat tidak mahu ketinggalan menyaksikan secara dekat operasi menyelamat Rayan. Foto: Anadolu agency

Pasukan penyelamat berusaha tanpa henti bagi menyelamatkannya termasuk membawa masuk jentolak untuk menggali tanah yang membolehkan mereka memasuki ke dalam untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

Rakyat Maghribi dan seluruh penduduk di serata dunia tidak ketinggalan menyaksikan perkembangan operasi menyelamat Rayan dari masa ke semasa.

Malah tanda pagar #SaveRayan turut menjadi trending nombor satu di Twitter ketika ini. - Arabnews

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Rayan Awram, jatuh perigi, Mahribi

Artikel Lain