suria

Tragis... 12 maut, 13 cedera dalam insiden rempuhan di kuil

Insiden berlaku ketika beribu-ribu penganut Hindu berkumpul untuk melakukan upacara keagamaan sempena tahun baharu.

SEKURANG-KURANGNYA 12 maut manakala 13 yang lain cedera dalam satu insiden rempuhan di sebuah kuil Hindu di India, pada awal pagi Sabtu.

Siasatan sudah dilakukan bagi menyiasat punca rempuhan di kuil Mata Vaishnav Devi, sebuah kuil yang popular di wilayah Kashmir di mana beribu-ribu penganut Hindu berkumpul untuk melakukan upacara keagamaan sempena tahun baharu, lapor AP.

Seorang penganut yang dikenali sebagai Mahesh berkata rempuhan itu berlaku berhampiran salah satu pintu masuk dan keluar di laluan ke kuil itu.

"Sesuatu berlaku berhampiran salah satu pintu pagar dan saya dihimpit orang ramai. Saya sesak nafas dan terjatuh tetapi entah bagaimana berjaya berdiri.

"Saya melihat orang ramai memijak mayat. Ia sangat mengerikan, tetapi saya berjaya membantu menyelamatkan beberapa orang yang cedera," katanya.

Seorang lagi penganut bernama Priyansh berkata dia dan 10 rakan dari New Delhi tiba pada malam Jumaat untuk melawat kuil tersebut.

Dalam insiden ngeri berkenaan, dua rakannya bagaimanapun turut terkorban.

"Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini," katanya.

Perdana Menteri India Narendra Modi mengucapkan takziah menerusi satu hantaran di Twitter.

"Amat sedih dengan kehilangan nyawa akibat rempuhan," tulis Modi.

Mata Vaishnav Devi adalah satu daripada kuil yang paling dihormati di utara India dengan puluhan ribu penganut Hindu mengunjunginya untuk bersembahyang setiap hari.

Rempuhan maut adalah perkara biasa semasa upacara keagamaan di India.

Pada 2013, penganut Hindu yang mengunjungi kuil di Madhya Pradesh semasa upacara perayaan berasak-asak di tengah jambatan dengan sekurang-kurangnya 115 orang mati dirempuh dan terjatuh sungai. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain