suria

Hukuman penjara 110 tahun terhadap pemandu trak dikurangkan kepada 10 tahun

Hukuman penjara Aguilera-Mederos dikurangkan kepada 10 tahun.

SELEPAS mendapat lebih 5 juta tanda tangan pada petisyen yang diwujudkan, Gabenor Colorado Jared Polis telah bersetuju untuk mengurangkan hukuman ke atas seorang pemandu trak yang menghadapi hukuman penjara selama 110 tahun kerana terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan empat orang pada 2019.

Gabenor mengurangkan hukuman kepada 10 tahun untuk Rogel Aguilera-Mederos.

Polis berkata Aguilera-Mederos layak mendapat parol dalam tempoh lima tahun, mulai 30 Disember 2026.

"Tempoh hukuman 110 tahun ini tidak sepadan dengan tindakan anda, mahupun hukuman yang dijatuhkan kepada orang lain untuk jenayah yang sama," tulis Polis dalam satu surat kepada pemandu itu.

"Terdapat keperluan mendesak untuk membetulkan hukuman yang tidak adil ini dan memulihkan keyakinan terhadap keseragaman dan keadilan sistem keadilan jenayah kita, dan akibatnya saya telah memilih untuk meringankan hukuman anda sekarang.

Satu petisyen di change.org telah diwujudkan bagi menggesa agar hukuman Aguilera-Mederos diringankan atau dia diberi pengampunan.

Pihak berkuasa ketika menjatuhkan hukuman berkata, tempoh itu adalah minimum mandatori yang ditetapkan oleh undang-undang, tetapi pendakwa raya kemudiannya telah memfailkan usul supaya hukuman itu dipertimbangkan semula.

Perbicaraan mengenai pertimbangan semula dijadualkan bulan depan, tetapi mungkin tidak perlu memandangkan tindakan gabenor pada Khamis.

Pada April 2019, Aguilera-Mederos sedang memandu sebuah treler separa traktor pada kelajuan 85 mph, apabila brek gagal, katanya kepada penyiasat pada ketika itu.

Dia cuba untuk berhenti di bahu jalan untuk mengelak lalu lintas namun sebuah lagi treler telah pun berhenti di situ, menurut afidavit tangkapan.

Pelanggaran trelernya mengakibatkan 28 buah kereta terbakar dan empat terbunuh di lebuh raya di Denver.

Nahas itu mengorbankan Miguel Angel Lamas Arellano, 24 tahun, William Bailey, 67 tahun, Doyle Harrison, 61 dan Stanley Politano, 69 tahun.

Aguilera-Mederos dijatuhi hukuman minggu lalu selepas didapati bersalah pada Oktober dan disabitkan dengan pembunuhan dengan menggunakan kenderaan dan 23 pertuduhan lain. - ABC7

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain