suria

Ibu bapa dakwa anak mati lemas tapi mangsa rayu 'nenek jangan hantar saya pulang'

Noah meninggal tidak lama selepas dihantar pulang ke pangkuan ibu bapanya.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan beberapa bulan selepas didakwa merayu untuk tidak dihantar pulang ke pangkuan ibu bapanya.

Ibu bapa Noah Cuatro mendakwa kanak-kanak itu lemas di dalam sebuah kolam renang pada 6 Julai lalu.

Namun doktor di Palmdale, California berkata kecederaan yang dialaminya tidak konsisten dengan dakwaan tersebut.

Malah neneknya, Eva Hernandez yang menjaga kanak-kanak itu untuk tempoh yang lama mendedahkan Noah agak ketakutan apabila pulang ke pangkuan ibu bapanya.

"Saya beritahu pekerja sosial. Tolong. Dia tidak mahu pergi. Dia mahu tinggal di sini. Dia merayu jangan benarkan dia pergi.

"Dia kata jangan hantar saya pulang nenek. Saya tidak boleh lakukan apa-apa. Saya hanya menghantarnya pulang," kata Eva.

Noah Cuatro.

Eva mula menjaga Noah sebaik sahaja kanak-kanak itu tidak lagi dibenarkan tinggal bersama ibu bapanya ketika berusia tiga bulan.

Namun Noah pulang ke rumah ibu bapanya pada usia sembilan bulan tetapi dijaga semula Eva setahun kemudian selepas diabaikan.

Mangsa tinggal bersama neneknya selama dua tahun tetapi dikembalikan semula ke ibu bapa kandungnya pada musim luruh lalu walaupun dia merayu untuk tidak dihantar pulang.

Sejak itu, ibu Noah menghalang Eva bertemu mangsa tiga bulan sebelum kematiannya.

Ibu bapa Noah disoal siasat polis pada Rabu tetapi kedua-duanya tidak ditahan berhubung kematian kanak-kanak itu. - Metro.co.uk

mati lemas, Noah Cuatro

Artikel Lain