suria

Jokowi kekal terajui Indonesia, ajak rakyat kembali bersatu

Jokowi bersama rakan seperjuangan, Ma'ruf Amin sebaik keputusan MK mengesahkan kemenangan memihak kepada mereka berdua.

MAHKAMAH Konsultasi (MK) mengesahkan Joko Widodo sebagai presiden Indonesia sekali gus memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019).

Keputusan itu membolehkan Jokowi kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia bagi tempoh 2019-2024.

Susulan keputusan MK telah menolak permohonan  Prabowo Subianto, calon Pilpres 2019, yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Jokowi, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan, berkata keputusan MK adalah sesuatu yang muktamad dan meminta seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu.

Pada pagi Jumaat, Jokowi mula melaksanakan tugasnya dengan menandatangani Peraturan Presiden (Perpres) Nomor 39 Tahun 2019 berkaitan Satu Data Indonesia, khidmat pengurusan data bersepadu.

Langkah berkenaan bertujuan untuk Perpres mengeluarkan data yang tepat, terkini, dapat dipertanggungjawabkan, mudah diakses, dan digunapakai.

Ia juga bagi memperbaiki kaedah pengendalian data yang dihasilkan pemerintah melalui penyelenggaraan Satu Data Indonesia.

Presiden Jokowi, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas, namun Prabowo yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU, pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengn keputusan berkenaan.

Persidangan atau perbicaraan Pilpres itu bermula 14 Jun hingga 21 Jun lepas di hadapan sembilan hakim MK dengan semua pihak berkaitan seperti peguam dan saksi dari pihak Prabowo, KPU dan Badan Pengawas Pemilihan Umum, memberikan keterangan masing-masing.

KPU sebelum ini mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Pilpres 2019 berlangsung 17 April lepas.

Keputusan MK itu adalah muktamad, dan KPU dijadual membuat perisytiharan rasmi kemenangan Jokowi dalam tempoh tiga hari mendatang.

Upacara mengangkat sumpah Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadualkan pada 20 Oktober ini.


Ma'ruf Amin, Jokowi, presiden, MK

Artikel Lain