Bekas Ratu Cantik India dakwa dicabul, 7 lelaki ditahan selepas video serangan tular - Dunia | mStar

Bekas Ratu Cantik India dakwa dicabul, 7 lelaki ditahan selepas video serangan tular

BEKAS Ratu Cantik India, Ushoshi Sengupta dicabul sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke hotel penginapannya di Kolkata pada Isnin.

Tujuh lelaki telah ditahan selepas laporan dibuat terhadap mereka pada Selasa. Mereka dikenali sebagai Rahit, Fardin Khan, Sabir Ali, Gani, Imran Ali, Wasim dan Atif Khan.

Insiden cemas yang dilalui Sengupta itu turut dikongsi menerusi laman sosial Facebooknya.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Hotel JW Mariott menaiki khidmat Uber apabila beberapa lelaki bermotosikal menghalang kenderaan yang dinaikiny.

Sebaik kereta itu berhenti, pemandu Uber berkenaan diheret keluar dan dipukul kumpulan lelaki terlibat.

Melihat tindakan itu, Ushoshi dan rakannya keluar dari kereta dan menjerit meminta tolong.

Seorang anggota polis yang dilihat ada berdekatan kemudiannya dirayu supaya membantu pemandu Uber berkenaan.

Model terkemuka itu juga telah merakam perbuatan kejam kumpulan lelaki itu terhadap pemandu berkenaan.

Apabila keadaan reda, personaliti itu dan rakannya meninggalkan lokasi kejadian menaiki kenderaan sama dan selepas beberapa ketika baru menyedari mereka diekori kumpulan lelaki sama.

Tanpa memakai topi keledar, lelaki yang menunggang tiga motosikal itu bertindak memberhentikan kereta berkenaan dan kemudian menariknya keluar serta mengasarinya.

Malahan kumpulan itu juga cuba memecahkan telefon bimbit miliknya untuk memadamkan video yang dirakam.

Mereka juga bertindak ganas melemparkan batu ke arah kereta dan memecahkan cermin kenderaan itu.

Model berkenaan dan rakannya juga mendakwa mereka dicabul kumpulan lelaki berkenaan.

Jelitawan itu juga mendakwa pihak polis enggan membantu mereka walaupun beberapa cubaan dibuat untuk mendapatkan bantuan pihak keselamatan.

Kenyataannya di laman media sosial itu telah tular hingga memaksa polis Kolkata menyiasat kejadian itu.

"Ini bukannya Kolkata yang saya mahukan, bukan Kolkata yang sebelum ini penuh dengan kerjaya. Saya mewakili Kolkata dan memenangi gelaran Ratu Cantik India dan saya juga mewakili setiap gadis di bandar ini yang ketakutan apabila berhadapan situasi yang saya alami.

"Walaupun telah membuat laporan polis, tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil terhadap lelaki terbabit," demikian catatannya yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Ushoshi Sengupta memenangi pertandingan Ratu Cantik India 2010 dan mewakili Miss Universi pada tahun sama.-India.com 








Sengupta , India , Uber

Artikel Berkaitan

Artikel Lain