Mengejutkan! Carian 'kahwin sepupu' di Google meningkat semasa Aidilfitri - Dunia | mStar

Mengejutkan! Carian 'kahwin sepupu' di Google meningkat semasa Aidilfitri

Satu kajian menunjukkan carian menikah dengan sepupu di Indonesia meningkat pada musim Aidilfitri untuk tempoh lima tahun.

CUBA bayangkan diri anda dalam situasi ini.

Anda sedang bosan berada dalam kumpulan keluarga dan sanak-saudara yang sedang berhimpun pafda Hari Raya. Masing-masing ada topik sendiri, tetapi tidak bagi diri anda yang jarang-jarang bertemu dengan mereka.

Hendak melarikan diri, nanti apa pula kata yang lain, sehinggalah anda terlihat seseorang yang menarik untuk dipandang.

Tidak sangka anda mempunyai saudara atau ahli keluarga yang cantik atau kacak, anda pun mengumpulkan semua keberanian untuk mendekatinya.

Borak punya borak, dia adalah sepupu atau saudara terdekat anda yang tidak pernah diketahui selama ini.

Barangkali situasi inilah yang berlaku kepada rakyat Indonesia setiap kali tibanya sambutan Aidilfitri.

Topik berkahwin dengan sepupu telah menjadi satu perdebatan yang hangat di Indonesia baru-baru ini berikutan peningkatan populariti carian 'menikah dengan sepupu' di Google semasa dan selepas percutian Aidilfitri minggu lepas.

Trend ini dicatatkan oleh kumpulan pengkaji bebas Objektiva Indonesia, yang juga melihat trend carian yang serupa terhadap kata kunci yang sama setiap tahun pada musim Hari Raya dari tahun 2015 hingga 2019.

Grafik menunjukkan bahawa untuk Aidilfitri tahun ini yang jatuh pada 5 Jun, bilangan carian untuk 'sepupu' meningkat dari 2 hingga 8 Jun.

Menariknya, mereka yang datangnya dari bandar Yogyakarta kelihatan paling mempunyai rasa ingin tahu terhadap topik ini berdasarkan permintaan carian mereka.

Antara kawasan lain yang dinyatakan adalah Kalimantan Timur, Lampung, Sulawesi Selatan dan Kalimantan Selatan.

Topik viral ini yang tidak dapat dielakkan, telah mencetuskan perbincangan dalam talian dalam kalangan masyarakat Indonesia mengenai sama ada menikahi sepupu adalah keputusan tepat atau sebaliknya.

Berkaitan topik ini, terdapat juga peningkatan yang ketara dalam carian 'hukum menikah dengan sepupu'.

Perkahwinan antara sepupu dibolehkan dalam undang-undang Islam. -coconuts

kahwin , sepupu , hukum , nikah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain