suria

Lelaki paling kaya setuju lepaskan isteri dengan perceraian rekod dunia

Walaupun telah berpisah, pasangan ini mengakui pernah menjalani kehidupan bahagia bersama. -fotoREUTERS

JEFF Bezos, yang bergelar orang paling kaya di dunia setuju bercerai dengan isterinya, MacKenzie, dalam kesepakatan bernilai lebih AS$35 bilion.

Melalui kesepakatan itu, MacKenzie akan mempertahankan empat peratus saham (AS$35.6 bilion) perusahaan peruncitan raksasa dalam talian, Amazon.

Ia akan menjadikan MacKenzie sebagai wanita ketiga terkaya dunia, dan bekas suaminya kekal sebagai orang terkaya dunia.

Dalam pengumumannya melalui tweet pertama dan satu-satunya sejak menyertai Twitter awal bulan ini, MacKenzie berkata dia 'bersyukur telah menyelesaikan proses memutuskan perkahwinan dengan Jeff melalui sokongan satu sama lain'.

Sebelum mencapai kesepakatan, Bezos memegang 16.3 peratus saham di Amazon. Dia akan mengekalkan 75 peratus dari pegangan itu tetapi isterinya telah memindahkan semua hak pemilihannya kepada bekas suaminya.

Dia juga akan menyerahkan kepentingannya dalam akhbar Washington Post dan syarikat perjalanan angkasa Bezos, Blue Origin.

Pasangan yang mempunyai empat anak itu hidup bersama setahun sebelum Bezos mengasaskan Amazon pada 1994. Malah MacKenzie merupakan salah seorang kakitangan terawal dalam perusahaan itu.

Amazon kini menjadi perusahaan runcit raksasa yang mana tahun lalu memperoleh pendapatan AS$232.8 bilion sehingga Bezos dan keluarganya mendapat keuntungan sebesar AS$131 bilion, menurut majalah Forbes.

MacKenzie adalah penulis novel yang telah menghasilkan dua buah buku berjudul 'The Testing of Luther Albright' dan 'Traps'.

Dia adalah anak didik pengarang yang juga pemenang Hadiah Pulitzer Toni Morrison di Universiti Princeton yang pernah berkata McKenzie adalah salah seorang pelajar terbaik yang pernah diajarnya dalam kelas penulisan kreatif.

Kesepakatan perceraian Bezos dan Mackenzie jauh lebih besar berbanding rekod sebelumnya yang dipegang usahawan Alec Wildenstein dan Jocelyn yang bernilai AS$3.8 bilion pada 1999.

Perceraian Bezos dan MacKenzie dilaporkan bermula dengan hubungan Bezos dengan bekas pengacara Fox TV, Lauren SÃnchez.

Setelah Bezos dan MacKenzie mengumumkan perpisahan mereka, majalah tabloid AS menerbitkan perincian hubungan Bezos dengan Sanchez termasuk mesej peribadi mereka.

Bezos menuding penerbit majalah itu, American Media Incorporated, cuba melakukan ugutan. Pihak penerbit membantah dakwaan itu.-BBC

cerai, Amazon, Jeff Bezos, MacKenzie

Artikel Lain