Pegang jarum pun tak betul... doktor terkenal dunia 'kantoi' menyamar, tak habis sekolah menengah - Dunia | mStar

Pegang jarum pun tak betul... doktor terkenal dunia 'kantoi' menyamar, tak habis sekolah menengah

-foto Dr matthew Mode/CEN

SEORANG lelaki ditangkap selepas dia menyamar menjadi seorang pakar bedah Inggeris yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Matteo Politi, 38, didakwa melakukan pembedahan plastik terhadap orang ramai dan memberi kuliah kepada pelatih walaupun tidak mempunyai latar belakang perubatan.

Politi, yang merupakan orang Itali, ditangkap ketika cuba meninggalkan Romania di mana dia melakukan pembedahan di empat klinik swasta di kawasan penduduk kaya di Bucharest.

Menggunakan nama alias Matthew Mode, dia mencipta profil media sosial yang mana dia menyiarkan video-video pembedahan yang telah dijalankan.

Media Itali melaporkan bahawa Politi telah dipenjarakan pada tahun 2011 kerana penipuan yang sama.

Rakan setugas, Adina Alberts membangkitkan kebimbangan mengenai kelayakan Politi selepas dia dilihat tidak mengikuti prosedur mencuci tangan yang betul sebelum pembedahan dan memegang jarum suntikan dengan cara salah.

Dia menambah, salah seorang pesakitnya juga mengalami 'komplikasi' daripada pembedahan payudara.

Pihak berkuasa kesihatan Romania mengumumkan bahawa Politi telah mendapat permit doktor pada bulan Mac tahun lalu setelah menyerahkan diploma palsu yang menyatakan dia memenuhi syarat di Kosovo.

Politi juga mengemukakan resume palsu yang menyatakan dia telah belajar di Universiti Sekolah Perubatan Johns Hopkins yang berprestij di Amerika Syarikat.

Universiti itu mengesahkan kepada New York Times bahawa ia tidak mempunyai rekod pelajar bernama Matteo Politi atau Matthew Mode.

Dia juga berbohong bahawa sebelum ini dia pernah bekerja sebagai pakar bedah plastik di UK, Itali dan Sepanyol walaupun dia sebenarnya tidak menamatkan sekolah menengah.

Politi kini disiasat kerana penipuan dan dijangka akan ditahan di Bucharest minggu ini. -MetroUK

doktor , bedah plastik , tipu , menyamar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain