suria

Kucing bersaiz lebih panjang daripada kayu besbol bikin netizen geram

Lihatlah saiz Barivel yang sangat panjang ini!. - Foto Guinness World Records

SEEKOR kucing Maine Coon berusia dua tahun dari Itali mempunyai saiz sepanjang 1.2 meter, iaitu lebih panjang daripada kayu pemukul besbol!

Kucing bernama Barivel itu tinggal bersama pemiliknya di Vigevano, Pavia, dan dinobatkan sebagai kucing domestik terpanjang, selepas rekod itu disahkan pada 22 Mei 2018.

Pemilik Barivel, Cinzia Tinnirello dan Edgar Scandurra berkata: "Dia adalah kucing yang sangat istimewa buat kami kerana dia agak pemalu.

"Apabila orang melihatnya, mereka sangat terkejut, tetapi bagi kami dia anugerah yang besar!"

Dalam dialek tempatan Itali, Barivel bermaksud badut atau joker.

Ramai orang terkejut dengan saiz Barivel yang sangat besar sehinggakan pasangan tersebut sering diminta berhenti kerana ada orang yang ingin bergambar dengan kucing mereka.

Situasi berkenaan memberikan ilham kepada pasangan tersebut untuk membuat akaun Instagram khas buat si manja berbulu lebat itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial sukar mempercayai bahawa gambar-gambar Barivel itu tidak disunting.

"Ramai orang bertanya sama ada gambarnya itu 'photoshopped' (sudah disunting)."

Walaupun saiznya sudah dianggap panjang, nampaknya ia bukan noktah untuk Barivel.

Maine Coons merupakan jenis baka kucing bersaiz besar dan biasanya membesar sehingga berusia empat tahun dan Barivel pula baru berusia dua tahun.

Mungkin ada rekod baharu yang akan dipecahkan oleh Barivel tidak lama lagi. - Guinness World Records

Barivel, Maine Coon

Artikel Lain