suria

Murid tadika dihidang nasi berulat, makanan basi, 2 ditahan

Sementara isu ini diselesaikan, sekolah dan tadika terbabit akan menyediakan hidangan yang disediakan oleh pembekal luar. -SCMP

POLIS dan pihak berkuasa pendidikan di timur China sedang menyiasat dakwaan bahawa makanan basi dan tamat tarikh luput telah diberikan kepada kanak-kanak di tiga tadika swasta.

Kontroversi itu timbul pada 19 September apabila ibu bapa menuduh kakitangan di Tadika Tongxin di Wuhu, wilayah Anhui, menghidangkan nasi dipenuhi ulat hitam untuk makan tengah hari mereka dan menggunakan cuka yang tarikh luputnya sudah melebihi satu tahun.

Pejabat peraturan pasar menyiasat perkara itu. Mereka kemudian melakukan pemeriksaan di Tadika Dedebei, yang dikendalikan oleh syarikat yang sama dan mendapati masalah yang sama.

Pegawai kemudian melawat Tadika Mingzhu, susulan aduan yang sama daripada ibu bapa dan mengenal pasti beberapa perlanggaran peraturan keselamatan makanan.

Sebagai hasil siasatan, pengarah sekolah Tongxin dan Dedebei ditahan bersama dengan seorang pekerja yang bertanggungjawab terhadap pemakanan.

Naib Datuk Bandar Wuhu, Chen Shaoguang berkata satu siasatan sedang dijalankan dengan kerajaan tempatan dan lapan pegawai sedang disiasat.

"Kami tidak akan terlepas untuk memeriksa walau satu kafeteria pun," kata Shaoguang.

"Kami tidak akan melepaskan sesiapa yang bertanggungjawab dalam kes ini."

Biro pendidikan Anhui berkata pemeriksaan akan dijalankan di sekolah-sekolah di seluruh wilayah itu semasa cuti Hari Kebangsaan, yang bermula pada hari Isnin.

Pada sidang akhbar Khamis, biro itu menyatakan bahawa 765 kanak-kanak menjalani pemeriksaan kesihatan yang dibayar oleh kerajaan tempatan akibat kebimbangan makanan dan kira-kira lima peratus daripada mereka telah menunjukkan beberapa kesan buruk. Ia tidak memberikan butiran terperinci.

Sehingga perkara itu dapat diselesaikan, sekolah dan tadika tempatan akan menyediakan hidangan tengah hari yang disediakan oleh pembekal luar, kata seorang jurucakap.

Bapa kepada seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang dihantar ke Tadika Dedebei berkata anaknya mula tidak sihat hanya tiga hari selepas dihantar ke situ.

"Dia mula mengadu sakit perut pada waktu pagi," kata ibu bapa budak tersebut, yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarganya, Xi.

"Pada mulanya saya fikir ia hanya alasan untuk tidak pergi ke sekolah. Tetapi sekarang bila fikir balik, ia mungkin disebabkan hidangan makan tengah hari yang dia makan."

Pemeriksaan menunjukkan budak lelaki itu mengalami jangkitan perut ringan, yang mana dia sedang dirawat.

Xi berkata dia dan ibu bapa lain telah berbincang dengan pihak berkuasa tentang cadangan mereka untuk pembaharuan kantin sekolah.

"Kami hanya mahu anak-anak kami diberikan persekitaran sekolah yang baik. Kami tak mahu mengeluarkan anak kami keluar dari sekolah itu, dia baru sahaja berkenalan dengan rakan-rakan sekelasnya," katanya. -SCMP

makanan basi, tamat tempoh, tadika

Artikel Sebelum

Artikel Lain