suria

China tetapkan kos hantaran, bantu lelaki bujang kahwin

MATLAMAT untuk membantu lelaki bujang mendirikan rumah tangga mendorong perkampungan di utara China menetapkan hantaran pertunangan pada kadar 20,000 yuan (AS$2,900).

Pada awalnya, dasar baharu itu turut menggariskan jika nilai barangan hantaran perkahwinan di Shijiazhuang, wilayah Hebei melebihi daripada yang ditetapkan, pihak terlibat berdepan risiko dikenakan tindakan rasuah atau pemerdagangan manusia, demikian lapor Hebei Youth Daily.

Bagaimanapun, ketetapan itu mendapat kritikan dan ia telah dikeluarkan daripada intipati dasar berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa perkampungan lain pula menetapkan kos jamuan untuk majlis perkahwinan adalah 260 yuan setiap meja dengan minuman keras pada kadar 30 yuan setiap kumpulan dan rokok pula sebanyak 10 yuan.

Menurut Liang Huabin dari kampung Daan, dasar itu diperkenalkan untuk membantu lelaki bujang berkahwin dan tidak dibebani dengan kos yang tinggi.

"Ketika ini, kos untuk hantaran pertunangan boleh menyebabkan bakal pengantin menggunakan hampir kesemua wang simpanan mereka," katanya.

Katanya, secara purata keluarga di perkampungannya berpendapatan 20,000 yuan setahun dan terpaksa membelanjakan sehingga 200,000 untuk majlis perkahwinan.

Di China, dianggarkan lebih 20 juta lelaki berusia kurang 30 tahun selepas pelaksanaan polisi satu anak dan lebih mengutamakan anak lelaki.

Kebanyakan mereka menetap di kawasan pedalaman, kurang membangun dengan kadar pendapatan yang rendah.

Mengikut tradisi, hantaran pertunangan memerlukan pengantin lelaki menghadiahkan hartanah kepada keluarga pengantin perempuan, kereta atau wang tunai.

Bagaimanapun, nilai hantaran yang meningkat menyukarkan pihak lelaki untuk mendirikan rumah tangga.-SCMP

China, Hebei

Artikel Lain