suria

Wanita maut selepas tertidur dalam keranda

Gambar hiasan keranda. Foto: AZLINA ABDULLAH/The Star

GUMI: Seorang wanita ditemui mati pada Jumaat, selepas tidur di dalam keranda dalam satu upacara keagamaan yang kononnya untuk menjauhkan bala dan musibah, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut polis, wanita berusia 47 tahun, yang identitinya tidak didedahkan, mula berada dalam keranda tersebut kira-kira pukul 8 malam Khamis, pada satu upacara yang diadakan di rumah seorang kenalannya di tenggara bandar Gumi.

Dua jam kemudian, mangsa dikatakan keluar dari keranda sebelum masuk semula, selepas disuruh rakannya dan peserta ritual yang lain untuk cuba berada lebih lama.

Keesokan paginya kira-kira pukul 6.30 pagi, dua peserta ritual membuka keranda dan mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa.

Menurut polis, mangsa mungkin tertidur memandangkan tidak terdapat sebarang kesan untuk cuba keluar.

Bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu untuk kenal pasti punca kematian.

Siasatan juga akan dijalankan bagi mengetahui kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat kepanasan, memandangkan keranda berkenaan kedap udara, ketika banyak kawasan di negara itu dilanda gelombang panas.

Polis juga akan meneliti sama ada dua kenalan mangsa akan dikenakan tindakan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian.-Bernama

Keranda, wanita

Artikel Lain