suria

Presiden Filipina gembira tengok kenderaan mewah musnah

Kenderaan mewah yang diseludup dimusnahkan oleh Kastam Filipina pada Isnin lalu.

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte kelihatan teruja sewaktu melihat 75 kenderaan mewah yang diseludup dimusnahkan oleh Kastam negara itu.

Sebanyak 68 buah kereta pelbagai jenama termasuk Lamborghini, Mustang, Porsche dan lapan motosikal dimusnahkan pada Isnin, dengan nilai dianggarkan sebanyak RM22.5 juta (£4.26 juta).

Duterte yang memakai topi putih dilihat bersorak sewaktu jengkaut memusnahkan kenderaan-kenderaan itu di Sta Ana, Cagatan, utara Filipina.

Sebahagian kenderaan mewah dimusnahkan dalam operasi membanteras rasuah dan penyeludupan di Filipina.

Dalam ucapannya sebelum sesi itu, Duterte mengakui tidak mampu untuk membanteras sepenuhnya rasuah dan penyeludupan ketika pemerintahannya.

Namun, usaha memusnahkan kenderaan seludup pada hari itu merupakan salah satu aspek penting dalam usahanya memerangi gejala itu.

Kenderaan yang dimusnahkan dalam acara itu merupakan sebahagian daripada 800 kereta dan motosikal yang disita oleh pihak berkuasa pelabuhan di Cagayan, ujar Pejabat Presiden dalam satu kenyataan.

Pada tahun lalu, Duterte turtut mengambil pendekatan serupa sekali gus menyampaikan mesej mengenai pendiriannya terhadap rasuah sejak dia memenangi pilihan raya pada 2016.

Duterte membuat tinjauan sebelum kenderaan mewah itu dimusnahkan Isnin lalu.

Februari lalu, Duterte turut mengarahkan puluhan kereta mewah termasuk jenama Jaguars dan BMW dimusnahkan di Manila.

Menerusi pemerintahan dahulu, kenderaan seludup yang dirampas akan dilelong oleh kerajaan.

Namun, Duterte beranggapan lebih baik untuk memusnahkan kenderaan itu dan tidak mahu kerajaan mengambil keuntungan dari hasil jenayah. - DailyMail.UK

Rodrigo Duterte, Rasuah, Kastam

Artikel Lain