suria

Selepas dua tahun, 'orang dalam' suspek kes racun pesakit

KIRA-KIRA 20 pesakit dalam kalangan warga tua maut dipercayai akibat diracun seorang jururawat wanita di unit rawatan penyakit kritikal sebuah hospital dekat Tokyo.

Kejadian ini berlaku antara Julai hingga September 2016, selepas kira-kira setahun suspek bertugas di hospital berkenaan.

Media tempatan melaporkan petugas wanita berusia 31 tahun itu mengaku telah melakukan perbuatan itu hingga menyebabkan kematian pesakit berkenaan.

Bagaimanapun, dia bertindak sedemikian pada hari cuti bagi mengelak perbuatannya dikesan dan enggan berdepan dengan ahli keluarga mangsa.

Sepasukan polis Kanagawa telah menggeledah kediaman Ayumi Kuboki di Yokohama untuk mencari bukti.

Kuboki telah ditahan pada Sabtu kerana disyaki membunuh dua lelaki pada 2016 dengan menyuntik bahan penyahjangkit dalam saluran drip di Hospital Oguchi yang telah kini ditukar namanya kepada Hospital Hajime Yokohama.

Setakat ini, pihak pendakwa raya mempunyai lebih dua minggu untuk memutuskan sama ada akan mendakwa jururawat terlibat.

Penglibatan Kuboki terbongkar apabila siasatan menemui kesan bahan penyahjangkit pada pakaian seragamnya.

Ia susulan kematian dua pesakit, Nobuo Yamaki dan Sozo Nishikawa yang meninggal dunia pada September 2016 akibat diracun dengan bahan sama.

Suspek bertugas di aras empat dan mengendalikan pesakit kronik dan polis menemui kesan jarum pada beg intravena yang disimpan di tempat jururawat.

Terkini, hospital berkenaan telah memperketatkan kawalan keselamatan untuk mengelak kejadian sama berulang.-JapanToday


Kuboki, Oguchi

Artikel Berikut

Artikel Lain