suria

Tunang bapa main 'game', budak 2 tahun tembak diri sendiri

Lokasi kejadian. -foto ABC30

SEBUAH komuniti kecil di Fresno, California, dikejutkan dengan berita seorang anak kecil menembak dirinya sendiri di kepala ketika bapanya tiada di rumah.

Bagaimanapun terdapat dua orang dewasa lain di dalam rumah itu, dalam kejadian Sabtu, lapor ABC 30.

Jabatan Polis Fresno telah membuat penangkapan.

Polis Fresno telah memperoleh waran geledah untuk menjalankan siasatan di rumah tersebut, di mana seorang anak kecil menembak dirinya sendiri.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Ketua Polis Fresno Jerry Dyer mengumumkan bahawa seorang kawan kepada keluarga itu yang berada di dalam rumah berkenaan, Oscar Ramos, 35, didakwa dengan kesalahan jenayah menyimpan senjata api.

Penyiasat berkata Jace Alexander yang berusia 2 tahun tinggal di rumah itu bersama Ramos dan Jenna Moya, 22, (tunang bapa Jace) ketika bapanya keluar bekerja pada hari kejadian.

Selepas sarapan pagi, polis berkata Ramos dan Moya meninggalkan budak kecil itu di ruang tamu untuk menonton kartun manakala mereka berdua pergi ke bilik tidur utama untuk bermain permainan video selama kira-kira 30 minit.

Ketika itulah mereka mendakwa mendengar bunyi letupan dan mendapati Jace berada di dalam bilik tidurnya dengan luka tembakan di kepala.

Moya memberitahu polis bahawa dia meminta Ramos menghubungi 911, tetapi dia tidak melakukannya.

Selepas beberapa minit berlalu, dia mendakwa menghubungi sendiri 911.

Jace masih bernafas ketika ahli paramedik tiba. Dia dikejarkan ke Hospital Kanak-kanak Valley, di mana dia meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ramos, yang mengaku meninggalkan pistol berpeluru pada Jumaat malam, berdepan hukuman penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Ini bermakna, bulan ini sahaja 12 kanak-kanak telah terbunuh akibat senjata api di Amerika Syarikat sama ada senagaja atau tidak sengaja.

pistol, tembak

Artikel Lain