suria

Ninja Bakal Kawal Olimpik Tokyo 2020

KOKA sememangnya terkenal sebagai sebuah bandar di barat Jepun sebagai tempat bertapaknya sekolah ninja terkemuka negara itu.

Bertitik tolak daripada itu, sebuah firma keselamatan negara itu, SCC Co. telah mengambil kesempatan memperkenalkan pengawal keselamatan dalam kalangan ninja.

Ia sesuai dengan perkembangan pelancongan ninja yang berkait rapat dengan bandar Koka.

Segalanya bermula apabila firma itu menyediakan pengawal keselamatan berpakaian ninja ketika majlis pembukaan sebuah premis di bandar berkenaan pada 2016.

Susulan itu, permintaan untuk pengawal keselamatan berpakaian ninja meningkat, malahan Maya Miyoshi yang mengetuai firma itu berharap memperoleh kontrak kawalan keselamatan menjelang Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo.

"Ninja adalah ikon kelas dunia dan kami mahu orang ramai merasai bagaimana kemudahan sukan dikawal individu yang berpakaian sedemikian.

"Saya sentiasa mahu bawa sesuatu yang baharu dan melakukan perubahan dalam industri keselamatan yang selama ini mengamalkan kaedah tradisi dan suram," katanya yang turut berpenampilan seperti kunoichi atau ninja wanita.

Setakat ini, langkah memperkenalkan pengawal keselamatan ninja mendapat sambutan, malahan menarik perhatian ramai termasuk pelancong dan pelajar yang sering ingin merakam gambar dengan mereka.

"Saya berhasrat untuk menyumbang kepada Olimpik Tokyo, jika ia menarik perhatian ramai, mungkin juga ia dapat menceriakan industri ini," katanya.

Sementara itu, Persatuan Perkhidmatan Keselamatan Jepun berkata, industri itu berkembang selepas kejayaan mengawal sepanjang Olimpik Tokyo pada 1964.



Olimpik Tokyo, ninja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain