suria

Trump Lantik Menantu Sebagai Penasihat Kanan

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengumumkan pelantikan menantunya, Jared Kushner, sebagai penasihat kanan White House yang baharu.

Keputusan untuk melantik Kushner bakal mencetuskan konflik baru berikutan Amerika mempunyai undang-undang anti-nepotisma.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh pasukan peralihan Trump, Kushner suami kepada Ivanka Trump, akan bekerjasama dengan Ketua Staf Reince Priebus dan juga Ketua Strategis Steve Bannon dalam pasukan kakitangan kanan White House.

“Jared merupakan aset yang sangat berharga dan juga merupakan penasihat kanan saya sepanjang kempen pemilihan jawatan presiden November lalu dan saya berasa bangga untuk melantiknnya dalam pasukan kakitangan saya,” kata Trump.

Kushner, sebelum ini adalah seorang pemaju hartanah dan juga pemilik syarikat akhbar, The Observer.

“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada negara,” kata Kushner dalam satu kenyataan berasingan.

Namun begitu, pelantikan Kushner bakal mencetuskan konflik perlembagaan kerana undang-undang persekutuan melarang penjawat awam seperti presiden melantik mana-mana saudara mara atau mereka yang mempunyai kaitan kekeluargaan daripada menyandang jawatan dalam kerajaan.

John Conyers, salah seorang anggota Jawatankuasa Perundangan Dewan Perwakilan dan beberapa wakil rakyat yang lain telah mengutus surat bantahan kepada Peguam Negara, Loretta Lynch berhubung keputusan Trump untuk melantik menantunya itu sebagai salah seorang pegawai kanan White House.

Mereka juga berhujah, walaupun Kushner membuat keputusan tidak akan menerima sebarang bayaran gaji untuk jawatannya itu nanti tetapi itu tidak bermakna beliau terlepas daripada sebarang peraturan dan undang-undang sedia ada.

Dalam kenyataan balas kepada akhbar New York Times, peguam Kushner menegaskan yang anak guamnya itu tidak akan mengambil sebarang upah dan pada masa yang sama akan melepaskan jawatannya dalam semua syarikat peribadi.

“Kami juga sedang merujuk kepada Pejabat Etika Kerajaan berhubung langkah seterusnya yang perlu diambil berhubung pelantikan ini,” kata Jamie Gorelick, peguam kepada Kushner.

Donald Trump

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain