suria

Lupakan Hasrat Pindah Kedutaan AS Ke Baitulmaqdis - Abbas

RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran kepada bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya melupakan hasrat untuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Menerusi sepucuk surat rasmi yang dikirim kepada Trump, Abbas mengingatkan wakil Parti Republikan itu bahawa tindakan sedemikian akan memberi kesan buruk terhadap proses keamanan, penyelesaian dua negara dan mengganggu kestabilan serta keselamatan rantau Asia Barat.

Selain AS, Abbas turut menghantar surat berkenaan kepada negara kuasa dunia lain termasuk Rusia, China dan Kesatuan Eropah dengan meminta mereka menghalang Washington daripada memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Sebelum ini, Trump berulang kali menyuarakan pelannya untuk berbuat demikian dan pada bulan lalu, beliau memilih peguam berhaluan kanan, David Friedman untuk menjadi Duta AS ke Israel.

Pemindahan kedutaan tersebut ditentang hebat oleh penduduk Palestin yang menganggap tindakan tersebut tidak mendapat restu mereka.

Sekutu AS, Israel bagaimanapun menyokong pelan berkenaan kerana menganggap keseluruhan bandar Baitulmaqdis sebagai milik rejim Zionis.

AS dan kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan status bandar tersebut merupakan satu daripada konflik paling getir antara Palestin dan Israel.

Rejim Zionis menawan Baitulmaqdis Timur pada Perang Enam Hari pada 1967 dan mendakwa kawasan tersebut sebagai milik Israel walaupun tidak mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain