suria

Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia Ditangkap Disyaki Terima Rasuah

JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan (MK) Indonesia, Akil Mochtar di sini pada Rabu malam kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian Pilihan Raya Umum (PRU) Pegawai Daerah Gunung Mas, Kalimantan Tengah.

Penangkapan itu memberi tamparan hebat kepada institusi kehakiman Indonesia kerana Mahkamah Perlembagaan mempunyai reputasi sebagai satu daripada institusi paling bersih di republik itu.

Turut ditangkap bersama Akil di kediamannya pada kira-kira pukul 10 malam Rabu, ialah seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dan seorang usahawan, di mana para pegawai KPK telah merampas wang dolar Singapura bernilai antara Rp2 bilion hingga Rp3 bilion.

Dua lagi suspek kemudian ditangkap para pegawai KPK di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Jurucakap KPK, Johan Budi memberitahu sidang akhbar di bangunan KPK lewat malam tadi bahawa suruhanjaya itu telah menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan berinisial AM kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian PRU Pegawai Daerah Gunung Mas itu.

Beliau juga mengesahkan lima suspek telah ditangkap suruhanjaya itu berhubung kes berkenaan, iaitu tiga orang di kediaman Ketua Mahkamah Perlembagaan di Jakarta Selatan dan dua orang di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Sementara itu, seorang Hakim Mahkamah Perlembagaan Hamdan Zoelva memberitahu pemberita di bangunan Mahkamah Perlembagaan lewat malam tadi bahawa sehubungan dengan perkembangan terbaharu itu, kesemua hakim mahkamah itu akan berusaha mengembalikan integriti dan kewibawaan Mahkamah Perlembagaan.

Satu daripada langkah yang akan diambil ialah membentuk Majlis Kehormatan yang dianggotai seorang hakim Mahkamah Perlembagaan, seorang pemimpin Suruhanjaya Kehakiman, bekas pemimpin agensi kerajaan dan tokoh akademik kanan dalam bidang undang-undang.

Majlis Kehormatan itu tidak akan mengganggu siasatan jenayah oleh KPK tetapi hanya akan meneliti persoalan etika hakim dan keputusan majlis itu boleh berbentuk bebas tanpa tuduhan, amaran, amaran keras hingga diberhentikan secara tidak hormat, kata beliau.

Artikel Lain