suria

Korban Bangunan Kilang Tekstil Runtuh Meningkat 427 Orang, Operasi Kilang Dibuka Semula

DHAKA: Industri tekstil Bangladesh yang terjejas teruk akibat kejadian bangunan runtuh minggu lalu yang mengorbankan 427 pekerja, pada Khamis telah dibuka semula untuk operasi.

Selama lapan hari operasi mengeluarkan pakaian untuk eksport terjejas ekoran kejadian malang itu.

Bangunan lapan tingkat yang menempatkan sebahagian besar industri pengeluaran pakaian jenama terkenal dunia ranap apabila ia runtuh dan mengorban serta memerangkap beribu pekerja Rabu minggu lalu.

Sehingga kini masih terdapat sejumlah 149 nama diisytiharkan hilang oleh para majikan sekaligus mencetuskan kebimbangan yang angka kematian akan meningkat kepada lebih 500 orang iaitu yang terburuk dalam kemalangan industri dalam sejarah negara itu.

"Bagaimanapun kini semua kilang yang terjejas akibat runtuhan tersebut telah pun memulakan operasi pengeluaran mereka semula di premis baru dan semua pekerja yang terselamat telah kembali ke tempat kerja masing-masing," ujar Shahidullah Azim, naib presiden Persatuan Pengilang dan Pengeluar Pakaian Bangladesh.

Malapetaka itu telah menjejaskan industri yang bernilai AS$20 bilion itu.

Bangladesh adalah salah sebuah negara pengeluar pakaian terbesar dunia kerana kos tenaga buruhnya yang rendah dan murah iaitu sekitar AS$40 sebulan.

Lebih tiga juta orang terlibat dalam industri ini di lebih 4,500 kilang tekstil yang terdapat di seluruh negara itu.

Menurut Shahidullah, penutupan sebahagian besar kilang tekstil yang terlibat dalam runtuhan bangunan itu telah menyebabkan Bangladesh kehilangan pendapatan sehingga AS$25 juta sehari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain