suria

Hubungan Dagangan India-Maldives Tegang Lepas Penamatan Kontrak Sebuah Firma India

NEW DELHI: India memberi amaran keras kepada jirannya Maldives bahawa negara kepulauan itu berhadapan risiko kehilangan bantuan tahunan sebanyak AS$25 juta selepas mereka menamatkan kontrak sebuah firma India yang dilantik untuk mengendalikan projek lapangan terbang antarabangsa.

India telah menyalurkan dana tahunan kepada Maldives sejak sekian lama dengan syarat mereka membuka pintu kepada firma-firma gergasi India untuk masuk dan menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun minggu lalu kerajaan baru Maldives telah memberi notis lima hari kepada sebuah firma infra India, GMR untuk meninggalkan negara tersebut selepas menamatkan kontrak 25 tahun yang dianugerahkan kepada firma berkenaan untuk membina dan menguruskan lapangan terbang antarabangsanya.

"Kami berasa kecewa dengan cara dan tindakan kerajaan Maldives menamatkan kontrak GMR dan ini sudah pastikan akan meninggalkan kesan ke atas hubungan dagangan antara kedua-dua buah negara," kata seorang pegawai kanan Kementerian Luar India kepada agensi berita AFP, tanpa mahu namanya dipetik.

Perjanjian antara Maldives dengan GMR dibuat pada tahun 2010 ketika pemerintahan Presiden Mohamed Nasheed. Tetapi sejak Nasheed digulingkan dan timbalannya, Mohamed Waheed mengambil alih Februari tahun ini hubungan dengan India menjadi tidak menentu.

Ini kerana Waheed mendakwa India memberi sokongan moral kepada Nasheed.

Artikel Lain