7 Terperangkap Dalam Runtuhan Terowong di Jepun

KOSHU: Sekurang-kurangnya tujuh orang terperangkap di dalam terowong selepas sebahagian daripada laluan terowong lebuh raya di barat Tokyo runtuh menyebabkan sejumlah kenderaan terperangkap.

Sementara asap tebal akibat kebakaran di dalamnya menyukarkan anggota penyelamat melakukan kerja-kerja membantu mangsa. Melalui rakaman video dari dalam terowong itu sejurus selepas kebakaran dipadamkan menunjukkan anggota bomba melalui sisa runtuhan bumbung simen yang menghempap kenderaan dalam Terowong Sasago kira-kira 80 kilometer dari bandar raya ini.

Namun akhbar-akhbar tempatan melaporkan anggota penyelamat telah menangguhkan kerja menyelamat kerana bimbang satu lagi runtuhan akan berlaku di dalam terowong berkenaan.

Seorang wanita yang terselamat selepas terperangkap dalam terowong sepanjang 4.3 kilometer itu memberitahu pihak berkuasa bahawa, beliau tidak pasti dengan keadaan lima orang yang berada dalam kenderaan sewanya.

Punca runtuhan kira-kira 100 meter dalam terowong itu masih disiasat. - AP

Artikel Lain