suria

Perubahan Kepimpinan Dalam Kumpulan Media Terbesar Britain

NEW YORK: Rupert Murdoch secara peribadi mengumumkan bahawa ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media News Corp miliknya akan melepaskan jawatannya pada penghujung tahun ini.

Tom Mockridge menerajui News Corp sejak Julai 2011 yang menerbitkan akhbar popular The Sun, The Times, dan The Sunday Times.

Keputusan ini menurut Murdoch akan membolehkan mereka melakukan proses penyusunan semula struktur pentadbiran kumpulan media itu kepada dua iaitu 'berita' (melalui perniagaan akhbar) dan 'perniagaan hiburan' (melalui perniagaan televisyen dan filem).

Kumpulan media berkenaan telah melalui proses peralihan yang panjang dan meletihkan setelah para pemegang saham, kerajaan dan orang awam mengkritik tindak-tanduk para pengarang dan wartawan kanannya yang membenarkan tindakan mengodam telefon bimbit selebriti tertentu dilakukan demi untuk mengejar bahan berita.

Mereka telah kehilangan begitu ramai wartawan kanan dan pengarang kanan termasuk didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.

Skandal tersebut turut memaksa Murdoch menutup akhbar mingguan News Corp paling popular iaitu News of the World kerana menyiarkan laporan-laporan hasil daripada maklumat yang selama ini diperolehi secara haram dan tidak beretika iaitu melalui pengodaman telefon bimbit selebriti.

Kini tempat Mockridge mungkin akan diganti oleh Ketua Eksekutif Wall Street Journal dan Dow Jones Newswires, Robert Thomson.

Mockridge telah berkhidmat bersama News Corp selama lebih 22 tahun dan merupakan rakan rapat Murdoch, 81.

Di samping memiliki media cetak dan elektronik di Amerika, Britain dan Australia, News Corp juga adalah pemilik studio filem terkemuka dunia, 20th Century Fox dan Rangkaian Penyiaran Fox.

Mereka juga adalah pemilik penerbit buku terbesar dunia iaitu HarperCollins.

Artikel Lain