suria

CEO Kumpulan Akhbar News International & Jurucakap PM Britain Akan Didakwa

LONDON: Pejabat pendakwaraya British pada Selasa memaklumkan bahawa mereka akan mendakwa bekas jurucakap perdana menteri, Andy Coulson dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif News International, Rebekah Brooks kerana membuat bayaran haram kepada kakitangan awam dalam proses untuk memperolehi maklumat untuk bahan berita.

Di samping mereka, terdapat tiga lagi orang yang akan turut didakwa termasuk bekas ketua pemberita akhbar tabloid popular, The Sun, John Kay, bekas Pengarang Diraja akhbar mingguan News of the World, Clive Goodman dan bekas kakitangan Kementerian Pertahanan yang bernama Bettina Barber.

Coulson yang juga bekas pengarang Kumpulan News International dan Goodman akan didakwa kerana menggunakan kedudukan mereka untuk membayar kakitangan awam dalam proses memperolehi maklumat daripada buku telefon Buckingham Palace yang dinamakan "Green Book".

Buku tersebut mengandungi maklumat terperinci nombor telefon keluarga diraja Britain.

Sementara Brooks, Kay dan Bettina Barber, akan didakwa kerana memberi bayaran sehingga Pound Sterling 100,000 (AS$159,000/Euro 124,500) kepada Bettina sebagai tukaran kepada maklumat dari tahun 2004 hingga 2011 untuk dijadikan bahan berita kepada akhbar The Sun.

Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Magistret Westminster pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kesemua dakwaan ini merupakan sebahagian daripada skandal penggodaman telefon bimbit yang dilakukan oleh para wartawan kanan The Sun dan penerbitan subsidiarinya dalam usaha mereka untuk memperolehi berita.

Skandal ini telah membawa kepada penutupan akhbar News of the World iaitu akhbar mingguan paling popular di Britain pada Julai 2011.

Brooks dan Coulson sebelum ini telah pun didakwa atas kesalahan bertanggungjawab membenarkan penggodaman telefon bimbit dilakukan oleh wartawan kanan akhbar pimpinan mereka manakala Brooks turut didakwa atas satu lagi kesalahan iaitu menghalang proses keadilan daripada dijalankan.

Artikel Lain