suria

Indonesia Akui Sukar Tangani Fenomena Kanak-Kanak Pendek

JAKARTA: Kaji selidik Makanan Berkhasiat Asia Tenggara (Seanuts) terbaharu menunjukkan kanak-kanak Indonesia adalah yang paling pendek di antara empat negara di Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Kerajaan Indonesia mengakui sedang berdepan masalah yang sangat kompleks dan sukar mengatasinya kerana fenomena itu bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan zat makanan tetapi juga faktor lain seperti penyakit dan kebersihan alam sekitar.

Fenomena kanak-kanak pendek atau kanak-kanak yang terbantut pertumbuhannya sering dikaitkan dengan masalah kekurangan zat makanan akibat daripada penyakit seperti cirit-birit kronik, kelahiran tidak normal, penyakit cacing, malaria dan jangkitan pada saluran pernafasan.

Pengarah Pembangunan Makanan Berzat Untuk Masyarakat, Kementerian Kesihatan Indonesia Minarto berkata usaha untuk mengatasi masalah "tumbesaran terbantut" di Indonesia memerlukan masa yang panjang.

Kanak-kanak kecil yang diserang cirit-birit misalnya boleh mengalami masalah kekurangan zat makanan dan jika tidak ditangani, ia akan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak itu, Minarto dipetik sebagai berkata oleh akhbar Media Indonesia pada Sabtu.

Penyakit cirit-birit, jangkitan pada saluran pernafasan dan cacing pula berkait rapat dengan gaya hidup masyarakat dan kebersihan alam sekitar, oleh itu penanganan masalah itu perlu disertai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan penjagaan kebersihan alam sekitar.

Hasil kaji selidik Seanuts di empat negara itu iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam bagi tahun 2011 yang diumumkan baru-baru ini mendapati bahawa kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Indonesia mengalami masalah "tumbesaran terbantut" pada kadar 24.1 peratus (lelaki) dan 24.3 peratus (perempuan).

Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun pula, peratusan yang mengalami masalah sama ialah 24.1 peratus (lelaki) dan 25.2 peratus (perempuan).

Secara perbandingan peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran terbantut di Malaysia, Thailand dan Vietnam pada umumnya ialah antara 11 hingga 12 peratus.

Minarto berkata, Gerakan Nasional 1,000 Hari Pertama Kehidupan yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Indonesia pada bulan ini merupakan satu daripada program dalam usaha menangani isu itu di peringkat hulu.

Gerakan itu menumpukan perhatian kepada ibu-ibu mengandung hingga anak mereka berusia dua tahun, dengan pemberian makanan tambahan kepada ibu-ibu mengandung, bayi diwajibkan minum susu ibu hingga berusia enam bulan dan bantuan makanan berzat kepada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain