suria

Pelaksanaan Gaji Minimum Mungkin Punca Ramai Dibuang Kerja Di Jakarta

JAKARTA: Persatuan Majikan Indonesia (Apindo) memberi amaran bahawa peningkatan 44 peratus gaji minimum di Jakarta tahun depan, mungkin memaksa syarikat memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos.

Sekumpulan majikan juga menyuarakan kebimbangan bahawa gaji minimum baru di Jakarta iaitu Rp2.2 juta (US$ 228) sebulan, yang diluluskan Gabenor Joko Widodo (Jokowi) pada Selasa, akan memberi kesan lonjakan segera terhadap kenaikan gaji di seluruh negara.

"Kerajaan lupa bahawa dengan membuat satu keputusan populis, majikan akan mengalami kerugian. Akibatnya majikan akan mengurangkan pekerjanya secara beramai-ramai," kata Pengerusi Apindo Sofjan Wanandi, dipetikan dari akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Globe, pada Rabu.

Sofjan berkata, industri pembuatan menggaji lebih 3 juta pekerja di kilang-kilang pengeluaran kasut, baju dan barangan rumah.

Industri tektil dan pakaian sahaja menggaji 2.5 juta orang, manakala sektor pengeluaran kasut menggaji 500,000 pekerja, katanya.

"Kasihanlah (pemilik perniagaan kecil) industri pembuat kasut dan pakaian dan semua buruh intensif (industri). Mereka tidak mampu dengan kenaikan upah ini. Gaji merupakan 30 peratus daripada kos. Dengan kenaikan kos elektrik dan gas, bagaimana kita boleh bersaing tahun depan," katanya.

Di bawah peraturan sebelum ini, pekerja di Jakarta memperoleh pendapatan minimum Rp1.5 juta sebulan. Gaji minimum baru Rp220,000, lebih daripada yang diminta Apindo, namun Rp590,000 kurang daripada jumlah yang diminta kesatuan buruh.

Sementara itu, seorang pakar ekonomi dari Universiti Padjajaran di Bandung, Kodrat Wibowo berkata pekerja yang menuntut upah tinggi perlu sepadan dengan peningkatan produktiviti, memandangkan produktiviti Indonesian jauh ketinggalan berbanding negara jirannya.

Data Pertubuhan Buruh Antarabangsa dari 2010 menunjukan bahawa produktiviti buruh Indonesia - diukur mengikut Keluaran Dalam Negeri Kasar setiap pekerja - iaitu US$10,587, berbanding US$25,058 di Malaysia dan US$12,593 di China.

Kodrat berkata, produktiviti buruh Indonesia lebih rendah berbanding negara di rantau ini, bukan disebabkan kurangnya pendidikan atau latihan tetapi akibat tiadanya 'etika kerja yang baik'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain