suria

Lagi Skandal Melibatkan Jeneral Tentera AS

WASHINGTON: Tidak cukup dengan skandal yang melanda Jabatan Pertahanan dan juga agensi perisikannya CIA, Amerika sekali lagi dikejutkan dengan berita bagaimana seorang jeneral empat bintang terpaksa diturunkan pangkat kerana bermewah dengan peruntukkan kerajaan.

Minggu lalu rakyat Amerika dikejutkan dengan peletakan jawatan pengarah CIA, Jeneral David Petraeus selepas FBI mendapati, emel yang mereka sedang siasat mendapati beliau mempunyai hubungan sulit dengan penulis biografinya, Paula Broadwell.

Pada Rabu, satu sumber Jabatan Pertahanan mendedahkan pula seorang jeneral empat bintang yang berkhidmat sebagai pemerintah tentera Amerika di Afrika telah menyalahgunakan kedudukannya untuk bermewah-mewah dengan peruntukkan kerajaan.

Ini telah memaksa Setiausaha Pertahanan Amerika (menteri pertahanan), Leon Panetta menurunkan pangkat Jeneral William Ward kepada Leftenan Jeneral dan mengarahkannya memulangkan semula AS$82,000 kerana menggunakan dana jabatan itu untuk mengembara secara mewah dan tidak sepatutnya.

Ini termasuklah menggunakan dana Jabatan Pertahanan untuk tiket penerbangan isterinya dan menempah bilik penginapan yang mahal untuk dirinya dan juga isterinya.

Pendedahan ini terkandung di dalam audit Jabatan Pertahanan Jun lalu.

Ward telah menafikan semua laporan audit tersebut.

Laporan audit itu turut menemui bukti bagaimana Ward bersama rombongannya telah mengembara dari Stuggart Jerman ke Washington dan Atlanta selama 11 hari dengan menelan kos perbelanjaan AS$129,000 sedangkan urusan rasmi yang mengambil masa tiga hari sahaja.

Isteri Ward turut dicatatkan mengembara bersamanya dengan menaiki pesawat khas tentera sebanyak 52 daripada 79 perjalanan yang direkodkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain