Hubungan Lebih Kukuh Antara Asean, China, Australia Boleh Menjadi Kuasa Ekonomi Yang Kuat - Dunia | mStar

Hubungan Lebih Kukuh Antara Asean, China, Australia Boleh Menjadi Kuasa Ekonomi Yang Kuat

MELBOURNE: Hubungan yang lebih kukuh antara Asean, China dan Australia boleh bertukar menjadi kuasa ekonomi yang kukuh untuk memacu ekonomi global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Tan Sri Dr Michael Yeoh.

Katanya kuasa yang kolektif penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi global, terutama sekali dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), yang sedang berhadapan kesukaran.

"Sedang AS dan EU berhadapan masalah, Asia akan menjadi pemacu ekonomi bagi beberapa tahun akan datang," kata Yeoh, yang juga Pengarah Asli, kepada Bernama pada Forum Ekonomi China Dunia (WCEF), yang berakhir di sini Rabu.

Forum bertajuk "Perkongsian China-Australia-Asean: Masa Depan Tanpa Had", itu memasuki edisi ke-empat dan pertama kali diadakan di luar Malaysia.

Kira-kira 100 peserta menghadiri forum itu bagi berkongsi perspektif mengenai isu yang dihadapi China dan rantau ini.

Forum anjuran Asli itu bermatlamat mempromosikan satu laluan sutera yang baharu atau koridor ekonomi baharu yang menghubungkan China melalui Asia Tenggara, Australia dan India hingga ke Timur Tengah.

Yeoh berkata forum itu akan turut merapatkan masyarakat China global yang tinggal di luar negara itu di Asia Tenggara, Australia dan Eropah.

Hari ini, lebih 50 juta masyarakat China seberang laut tinggal di luar China, dengan kekayaan lebih besar dari keluaran dalam negara kasar banyak negara kecil, katanya.

Yeoh berkata tajuk yang ditonjolkan pada forum itu adalah penting di rantau ini bagi merapatkan kerjasama antara Malaysia, Australia dan China, sekali gus mendorong negara itu menjadi satu hab pelaburan bagi rantau ini.

Antara tajuk yang dibincangkan ialah untuk menzahirkan peluang dari perkongsian dengan peningkatan China, yang menghubungkan masyarakat China di luar negara itu dan membina hubungan, perubahan iklim, tanggung jawab dan etika perniagaan dan menjalin kerjasama bagi memenuhi keperluan bagi menghasilkan protein dan keselamatan makanan.

Yeoh berkata WCEF ke-lima akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun depan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak penganjur mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan yang menarik.

WCEF itu akan dipanjangkan ke London, Hong Kong dan bandar raya China bagi menggalakkan lebih banyak pemahaman mengenai peningkatan ekonomi China dan kesannya terhadap ekonomi global dan serantau, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Banjir Di Venice Mulai Surut

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain