suria

Tiga Terkorban Akibat Banjir Di Itali

FLORENCE: Tiga orang terkorban selepas kereta mereka terjatuh dari jambatan yang runtuh semasa hujan lebat berhampiran bandar Grosseto di tengah Itali, menurut pihak berkuasa, pada Selasa, berikutan banjir teruk yang berterusan di rantau Tuscany.

Identiti mangsa sedang dikenalpasti tetapi kereta yang dinaiki mereka menunjukkan logo Enel, syarikat elektrik terbesar di Itali, kata pegawai penguatkuasa Perlindungan Sivil.

Masih tidak jelas sama ada kenderaan yang dipandu terjatuh dari jambatan atau terperangkap semasa jambatan runtuh.

Tuscany dan rantau kejiranan Umbria telah musnah akibat banjir yang teruk sejak dua hari lepas kerana hujan lebat menyebabkan sungai memecahkan tebing di beberapa kawasan.

Seorang lelaki meninggal dunia pada Isnin dan lebih daripada 100 orang dipaksa meninggalkan rumah mereka dan mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan kecemasan.

Beribu-ribu orang terputus bekalan elektrik apabila paras air di bandar Albinia dan Orbetello semakin meningkat.

Gabenor Tuscany, Enrico Rossi, meminta bantuan daripada tentera untuk menangani banjir.

Bahagian utara Itali, termasuk bandar bersejarah Venice, juga telah dilanda hujan lebat yang memberikan tekanan yang teruk pada sistem saliran dan infrastruktur lain.

Artikel Berikut

Artikel Lain