suria

Suri Rumah Australia Dan 251 Rakan Terbang Percuma Ke K.Lumpur

MELBOURNE: Pemenang pertandingan 'Friendsy' AirAsia menerusi laman sosial Facebook, pada mulanya tidak percaya apabila menerima panggilan menyatakan beliau dan 251 rakan serta keluarga akan terbang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat khas.

"Memang mengejutkan. Kami tidak menjangka boleh menang apabila menyertai pertandingan dan apabila mereka beritahu, saya tidak percaya...saya fikir itu panggilan untuk mengusik," katanya Julie-Anne Foster dari Lismore, New South Wales kepada Bernama.

Kata Foster suaminya Darren, juga pada mulanya tidak percaya mengenai perkara itu namun selepas meraikannya dengan beberapa gelas minuman keras, mereka mula percaya.

Menerusi hadiah bernilai A$268,615 itu, Foster dan rakan-rakannya akan menaiki penerbangan khas AirAsia Airbus A300-300 dan menginap selama tiga malam di Hotel Ibis Styles Kuala Lumpur yang baharu di Fraser Business Park.

Foster yang tidak sabar untuk merasai pengalaman itu bersama mereka yang rapat dengannya, berkata bagi sesetengah rakannya, perjalanan ke luar negara tersebut merupakan yang pertama buat mereka.

"Mereka sedang menguruskan isu pasport dan teruja untuk mengenali Kuala Lumpur," katanya.

Antara yang dipilih Foster bagi menemani beliau ialah tiga anaknya, suami, tiga saudara lelaki, ibunya dan anggota kelab hoki serta rakan dari kelab renang anak gadisnya.

Sepanjang berada di Kuala Lumpur, pelbagai program menarik menunggu mereka termasuk melawat Batu Caves, Kilang Royal Selangor Pewter, membeli-belah di kawasan 'Segi Tiga Emas' dan menikmati hidangan malam di Restoran Hakka yang terkenal.

Pengarah Urusan Tourism Malaysia Australia Shahrin Mokhtar berkata pertandingan itu adalah satu cara bijak untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

"Pertandingan 'Friendsy' AirAsia menunjukkan betapa mudah dan murah untuk melancong ke Malaysia dari Australia, selain membantu mendedahkan Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi serta pilihan tepat untuk berehat sekejap," katanya.

Foster dan kumpulannya akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 2 November dan kembali ke Australia pada 5 November.

Pertandingan itu yang dijalankan awal tahun ini adalah sempena perkhidmatan baharu AirAsia X iaitu penerbangan harian dari Sydney-Kuala Lumpur yang bermula 2 April lepas.

AirAsia X merupakan perkhidmatan penerbangan tambang murah jarak jauh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Sydney, Melbourne, Gold Coast dan Perth, selain menyediakan penerbangan penghubung menerusi 'Fly-Thru' ke negara Asean. - BERNAMA

Artikel Berikut

Apple Lancar iPad Mini Esok

Artikel Lain