Dikri Darurat Dilanjutkan Di Selatan Thailand - Dunia | mStar

Dikri Darurat Dilanjutkan Di Selatan Thailand

BANGKOK: Dikri darurat dilanjutkan selama tiga bulan lagi di wilayah-wilayah Selatan Thailand yang sering dilanda keganasan.

Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Keselamatan, Jen Yuthasak Sasiprapha berkata kabinet hari ini meluluskan perlanjutan itu dari 20 September hingga 19 Disember di Yala, Narathiwat dan Pattani.

Tiga wilayah itu diletakkan di bawah dikri darurat sejak 2004 bila kumpulan yang disyaki sebagai puak pemisah melancarkan gerakan bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah berkenaan dan lebih 5,000 orang terkorban setakat ini.

Jen Yuthasak juga berkata 80 militan di selatan sedia meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Beliau berkata mereka kini berunding dengan pegawai-pegawai kanan Tentera Wilayah Empat di Narathiwat. "Kerajaan sedia mempertimbang dua syarat mereka - menjamin keselamatan mereka dan mendapatan mereka pekerjaan," kata beliau.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif ke arah penyelesaian konflik di selatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

670 Rumah Rosak Bencana Puting Beliung Di Bogor

Artikel Berikut

Doktor Palsu Periksa 2,300 Pesakit Di Jepun

Artikel Berkaitan

Artikel Lain