suria

Media Asean Wajar Ada Kerjasama Antara Negara

CHANGCHUN (China): Media dari negara Asean 10+3 digesa menggunakan platform itu untuk membentuk persahabatan yang membolehkan mereka bekerjasama.

Pengarah Pembangunan Hal Ehwal Komuniti Sekretariat Asean Danny Lee Chian Siong berkata sebagai anggota Asean 10+3 yang semakin akrab, perselisihan tidak dapat dielakkan namun hakikatnya ekonomi rantau itu bergantung kepada satu sama lain.

"Ini terutamanya ketika pasaran Eropah masih berusaha menangani masalah mereka. Pasaran Amerika Syarikat pula walaupun sedang pulih masih memerlukan lebih masa. Sementara menunggu, kita hanya bergantung sesama sendiri," katanya.

Di tengah-tengah perkembangan ini, peranan media tidak boleh dipandang rendah, kata Lee pada Forum Kerjasama Media 10+3 kelima yang dianjur akhbar kebangsaan terbesar dan paling berpengaruh China, People's Daily dan kerajaan wilayah Jilin.

Lebih daripada 80 perwakilan media utama dari rantau ini hadir pada forum tahunan sehari itu bagi bertukar-tukar pandangan mengenai peranan media Asia di peringkat antarabangsa.

Forum bertema 'Asia's Voice & Values: How Can Media Promote Peace, Harmony & Cooperation'.

Bagaimanapun, Lee berkata pertelingkahan benar-benar wujud dan pembaca berhak tahu mengenainya dan faham bahawa perkara itu adalah satu aspek dalam hubungan pelbagai hala.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Jilin, Wang Rulin ketika berucap, berkata rantau Asia perlu memainkan peranan yang kritikal bagi mengangkat suara media Asia dan memastikannya didengar pada peringkat global.

Beliau juga berharap kerajaan dari rantau Asean memperluaskan persefahaman bersama bagi mewujudkan suasana menang-menang.

Ketua Pengarang People's Daily Wu Hengquan pula berkata media dari rantau ini perlu meningkatkan usaha bagi menjadikan Asia satu suara yang lebih kuat, serta mempromosikan keamanan dan keharmonian di rantau ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

30 Maut Pertempuran Di Turki

Artikel Lain