suria

Penggunaan Bekalan Elektrik China Meningkat 4.5 Peratus Pada Julai

BEIJING: Penggunaan tenaga elektrik di China mencatat pertumbuhan 4.5 peratus tahun ke tahun kepada 455.6 bilion kWh, kata agensi tenaga China, National Energy Administration (NEA).

Penggunaan tenaga pada tujuh bulan pertama sebanyak 2.83 trilion kWh, peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata NEA dalam kenyataan pada laman webnya pada Selasa.

Mengikut pecahan, penggunaan elektrik sektor pertanian susut 0.4 peratus tahun ke tahun kepada 58.9 bilion kWh, manakala penggunaan elektrik oleh sektor industri dan perkilangan meningkat 3.6 peratus kepada 2.1 trilion kWh berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Penggunaan tenaga oleh sektor perkhidmatan meningkat 11.9 peratus kepada 319.3 bilion kWh, manakala penggunaan kediaman sebanyak 356.9 bilion kWh, meningkat 12.5 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, Agensi Berita Xinhua melaporkan penggunaan elektrik China tumbuh lebih perlahan pada Julai, memandangkan aktiviti kilang dan keluaran industri negara mencatat pertumbuhan lemah ketika ekonomi perlahan.

Ia memetik data Biro Perangkaan Negara yang menunjukkan keluaran bernilai tambah industri China menunjukkan pertumbuhan paling perlahan sejak Mei 2009 yang berkembang 9.2 peratus tahun ke tahun pada Julai, 0.3 peratus lebih rendah daripada 9.5 peratus pada Jun.

"Ahli ekonomi telah mengunjurkan aktiviti industri mula berkembang pada Julai ekoran usaha kerajaan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menstabilkan pertumbuhan, termasuk mengurangkan kadar faedah sebanyak dua kali, Jun dan Julai," katanya.

Ia berkata indeks pengurus pembelian pengeluaran (PMI), yang mengukur aktiviti kilang negara, susut kepada 50.1 peratus pada Julai, peningkatan paling perlahan dalam tempoh lapan bulan, demikian menurut kajian yang disiarkan oleh persekutuan Logistik dan Pembelian China awal bulan ini. - BERNAMA

Artikel Lain