suria

Syarikat Penerbangan HK, Cathay Pacific Catat Kerugian

HONG KONG: Cathay Pacific Airways telah mencatatkan kerugian bersih bernilai AS$121 juta pada enam bulan pertama tahun ini - sebahagian besarnya disalahkan ke atas harga minyak yang tinggi dan juga persaingan sengit di peringkat global.

Situasi ini berbeza dengan hasil yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu yang menyaksikan syarikat itu meraih HK$2.81 bilion.

Pengerusi Cathay Pacific Airways, Christopher Pratt berkata, prestasi mereka terjejas teruk ekoran kenaikan harga minyak yang berterusan dan juga urusan perniagaan kargo yang lemah.

Katanya, keuntungan dari syarikat berkaitan seperti Air China juga menunjukkan penurunan yang mendadak.

Namun begitu katanya, posisi kewangan syarikat masih kukuh dan tidak sama sekali menjejaskan operasi harian.

Cathay baru sahaja menempah enam buah pesawat Airbus A350-900 pada Januari dan pada bulan ini baru sahaja bersetuju untuk membeli 10 buah pesawat Airbus A350-1000 dan menukar 16 buah pesawat Airbus A350-900 yang ditempah sebelum ini kepada Airbus A350-1000s yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api.

"Keseluruhannya kumpulan Cathay Pacific akan menerima 19 buah pesawat baru sepanjang tahun ini yang sekaligus akan menjimatkan penggunaan bahan api, " kata Pratt.

Menurut beliau, sehingga ke tahun 2019, Cathay Pacific akan menerima sejumlah 92 buah pesawat baru.

Ini kata Pratt akan membolehkan pihak syarikat menghentikan penggunaan pesawat-pesawat lama seperti Boeing 747-400 yang tidak efisien penggunaan bahan api.

Artikel Sebelum

Artikel Lain