suria

Lapangan Terbang Don Mueng Diluluskan Untuk Kegunaan LCC, Penerbangan Domestik

BANGKOK: Kerajaan Thailand meluluskan cadangan agar Lapangan Terbang Don Mueng di sini digunakan oleh syarikat penerbangan tambang murah dan penerbangan domestik bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Timbalan jurucakap kerajaan Chalitrat Jantalubeksa pada Selasa berkata cadangan yang dikemukakan Kementerian Pengangkutan itu boleh dilaksanakan tidak lama lagi selepas Airports of Thailand Public Company Limited (AOT) mengadakan mesyuarat dengan syarikat penerbangan tentang cadangan itu pada 1 Julai.

Kerajaan membuat keputusan itu pada mesyuarat mingguan Kabinet di Pattaya hari ini.

Chalitrat berkata selain untuk mengurangkan kesesakan penumpang dan muatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Kabinet membuat keputusan itu atas sebab strategik dengan membenarkan sebuah lapangan terbang alternatif beroperasi di samping lapangan terbang utama di ibu negara Thailand ini.

Katanya Lapangan Terbang Don Mueng akan digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada penerbangan antarabangsa terhad dan penerbangan domestik, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi akan terus memberi perkhidmatan penerbangan penuh dan penerbangan sambungan. Chalitrat berkata tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi mengendali 299,566 penerbangan dan 47.9 juta penumpang, walaupun ia dibina untuk mengendali hanya 45 juta penumpang setahun.

Dalam tempoh sama, Lapangan Terbang Don Mueng pula mengendali 40,903 penerbangan dan 3.4 juta penumpang dan ketika ini, hanya dua syarikat penerbangan tempatan - Nok Air dan Orient Thai - beroperasi di lapangan terbang itu.

Kini, syarikat penerbangan tambang murah, termasuk Air Asia dan Tiger Airways beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi. - BERNAMA

Artikel Lain