suria

'Tweet' 'Rolex Tiruan' Lady Gaga Buat Peminat Marah

BANGKOK: Lady Gaga mahu pergi membeli-belah di Bangkok untuk mendapatkan jam tangan Rolex tiruan.

Penyanyi ini memberi komen kepada 24 juta pengikut Twitternya sehingga mencetuskan huru-hara 'online' di Thailand pada Khamis di mana beberapa peminat menyifatkan ia sebagai menyinggung, menghina dan memberi imej buruk kepada negara.

Ini merupakan publisiti terkini Lady Gaga dalam jelajah "The Born This Way Ball" di Asia.

Lirik berunsur provokatif dan pakaian Lady Gaga telah menimbulkan kemarahan di kalangan kumpulan Katolik di Korea Selatan dan Filipina dan masyarakat Islam di Indonesia, di mana persembahannya mungkin akan diharamkan.

Kini beliau mengganggu semangat nasionalis di Thailand, di mana ramai yang marah apabila beliau sebagai orang luar seolah-olah mempersendakan negara mereka.

"Kami lebih bertamadun daripada apa yang anda fikir," kata DJ Surahit Siamwalla, menerusi Twitter, yang mempunyai tiket persembahan di Bangkok pada Jumaat tetapi berkata merancang untuk memboikotnya.

"Dia datang ke tempat kami, tetapi bukan mengagumi kami sebaliknya menghina kami," kata pengulas web popular Thai pantip.com.

Lady Gaga, selepas tiba dengan jet peribadi pada Rabu berkata menerusi Twitter beliau:

"Saya baru sahaja mendarat di Bangkok. Bersedia untuk jeritan 50,000 raksaksa Thai. Saya ingin tenggelam di 'pasar wanita' dan membeli Rolex tiruan."

Adalah tidak jelas maksud "pasar wanita" tetapi beberapa peminat Thai menganggap ia bermaksud pasar popular seperti di Hong Kong, di mana beliau pernah melawat dan mendapatkan barangan mewah tiruan.

"Saya suka bandar ini," katanya menerusi Twitter pada 30 April selepas berada di Hong Kong.

"Anda boleh bersenam & membeli Birkin tiruan di jalan yang sama."

Tidak semua peminat Thailand membantah komen Lady Gaga ini. Terdapat jeritan menyambut Lady Gaga di lapangan terbang.

Orang ramai membanjiri hotel lima bintang, di mana beliau telah menandatangani autograf dan memeluk peminat setia wanita yang kemudiannya menangis.

Orang ramai telah berkhemah di luar stadium Rajamangala selama beberapa hari, dengan harapan menjadi golongan pertama masuk dan memenangi hadiah bertemu penyanyi ini.

Jika Lady Gaga tidak mempunyai lebih masa untuk membeli-belah di Bangkok, dia akan melihat bahawa bandar ini mempunyai lebih banyak tawaran tidak sekadar jam tangan palsu, peminat Thai Nont Armarttasn secara sinis menyebut dalam laman Facebooknya.

"Selamat datang ke negara produk palsu, cinta," katanya.

"Saya pasti terdapat banyak CD palsu Lady Gaga juga."

Artikel Lain