suria

OIC Mahu Dialog Selesaikan Konflik Di Selatan Thailand

BANGKOK: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggalakkan supaya dialog diadakan antara kerajaan Thailand dengan semua pihak termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan cara kerajaan menyelesaikan konflik di selatan negara itu yang sudah berlarutan selama lapan tahun.

Penasihat kepada Setiausaha Agung OIC, Duta Sayed Kassem El-Masry berkata hari ini dialog sedemikian penting dalam mendapatkan satu kompromi supaya perdamaian yang kekal dicapai di wilayah selatan tersebut. "Berdasarkan sejarah, jika kita membiarkan keadaan berterusan tanpa sebarang penyelesaian drastik, keadaan akan bertambah sukar untuk diselesaikan," katanya pada sidang media di akhir lawatan selama empat hari ke negara itu.

Sayed Kassem berada di sini atas jemputan kerajaan Thailand bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai kedudukan konflik di selatan Thailand.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Dalam sidang media yang sama, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thai, Sihasak Phuangketkeow, berkata kerajaannya sedang mengadakan dialog dengan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun beliau menegaskan ia bukannya perundingan dengan mana-mana pihak kerana tidak ada satu kumpulan pun yang boleh mendakwa mewakili penduduk di selatan Thailand itu.

Lebih 5,000 orang telah terbunuh sejak golongan yang disyaki pemisah menyambung semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan di Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lalu.

Sayed Kassem berkata daripada pemerhatiannya ketika melawat wilayah berkenaan, kehadiran tentera yang banyak dan sekatan jalan raya serta terhadnya kemudahan untuk orang ramai berhubung telah menimbulkan 'ketegangan' dan bukannya mengendurkan lagi suasana di situ.

Bagaimanapun beliau berkata keadaan keseluruhan di selatan telah jauh bertambah baik sekarang berbanding dengan keadaan semasa lawatan pertamanya ke kawasan berkenaan pada 2005. "Kerajaan telah membuat perancangan untuk mengemukakan sesuatu ke arah menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

Sayed Kassem berkata kerajaan kini mengakui masalah tersebut dan cuba mengendalikan punca akar umbi kepada masalah berkenaan.

Katanya, akar umbi masalah ialah adanya kelompok bangsa dan bukannya Islam kerana mereka mahu mengamalkan cara hidup, kebudayaan, bahasa dan pentadbiran mereka sendiri di rantau berkenaan.

Sihasak berkata kerajaan telah memberi sebahagian ruang kepada mereka termasuk orang tempatan untuk mengendalikan kawasan tersebut.

Sayed Kassem menegaskan pendirian OIC dalam konflik di selatan itu ialah dengan menghubungi orang Islam minoriti menerusi kerajaan dan tidak menggalakkan pergerakan pemisah selain mengutuk sebarang bentuk keganasan. Kita mengutuk sebarang pembunuhan ke atas orang awam yang tidak berdosa oleh mana-mana pihak termasuk tentera," katanya.

Sayed Kassem mengakui OIC mengalami kekangan dalam mengendalikan konflik di selatan itu kerana pertubuhan itu menghormati kedaulatan Thailand, hanya boleh memberi nasihat ketika berbincang dengan kerajaan negara itu. "Melalui Bank Pembangunan Islam (IDB), OIC boleh membuat sumbangan terhadap pembangunan ekonomi di selatan," katanya.

Beliau berkata dalam aspek kebudayaan dan masyarakat, OIC antara lain boleh menawarkan biasiswa dan program latihan guru.

Sayed Kassem berkata mengikut pemerhatiannya, kerajaan boleh melihat masalah tersebut di masa lalu hanya daripada segi keselamatan, tetapi sekarang memberi perhatian juga terhadap kebudayaan serta ekonomi.

Katanya, beliau akan menyediakan laporan tentang lawatannya itu untuk dikaji oleh Majlis Menteri OIC yang akan bersidang lewat tahun ini.

Semasa lawatannya itu, Sayed Kassem menemui wakil-wakil daripada kerajaan, Majlis Keselamatan Negara, majlis pentadbiran selatan, pemimpin masyarakat Islam dan belia..

Sejak 1998, Thailand menghantar wakil bertaraf pemerhati dalam OIC, sebuah pertubuhan dianggotai 57 negara yang ditubuhkan pada tahun 1970. -BERNAMA

Artikel Lain