suria

Sekolah Elit Australia Kenakan Yuran Lebih A$30,000 Setahun

MELBOURNE: Ibu bapa di Malaysia yang merancang menghantar anak mereka ke sekolah berasrama elit di negeri Victoria perlu mengambil perhatian bahawa yuran tahunan telah mencecah lebih A$30,000 dan terus meningkat.

Geelong Grammar, sekolah paling mahal di Victoria, mengenakan yuran sebanyak $30,820 untuk pelajar senior pada tahun ini - naik sebanyak A$1,600 daripada tahun lepas.

Jurucakap Geelong Grammar memberitahu akhbar Herald Sun, yuran itu bagi pelajar senior yag bersekolah harian dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam dan mereka yang tinggal di kampus. Yuran itu termasuk makanan, sukan kokurikulum dan penyeliaan semasa pembelajaran waktu malam.

Sekolah swasta lain di Victoria juga telah menaikkan yuran tahunan sehingga A$2,040. Methodist Ladies' College, di kawasan eksklusif pinggir bandar Kew, mencatatkan kenaikan tertinggi, dengan yuran Tahun 12 naik sebanyak 9.5 peratus kepada A$23,490.

Trinity Grammar di Kew menaikkan yuran sebanyak A$1,700, kepada A$23,516.

Kenaikan yuran itu tidak menjejaskan pendaftaran dengan beberapa sekolah menyatakan jumlah pelajar terus meningkat.

Sekolah yang popular di kalangan pelajar Asia, Melbourne Grammar mengenakan A$25,140 manakala sekolah katolik terkemuka, Xavier College, juga di Kew akan mengenakan yuran A$20,615 setahun.

Bagaimanapun, terdapat juga sekolah yang mengenakan yuran lebih rendah, terutamanya di kawasan bandar lebih kecil seperti Gippsland Grammar, kira-kira tiga jam perjalanan dari sini, hanya mengenakan A$13,450 setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain