suria

Singapura, Qatar Tingkat Kerjasama Dua Hala Dalam ICT, Budaya

SINGAPURA: Singapura dan Qatar dijangka menandatangani memorandum persefahaman bagi meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta budaya di Doha, Qatar, Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar berkata majlis pemeteraian itu akan berlansgung pada mesyuarat jawatankuasa bersama peringkat tinggi kelima antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean, yang melawat Doha mulai Isnin hingga 15 Mac, akan mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan waris Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani.

Jawatankuasa berkenaan merupakan platform utama pengaturan yang menentukan hala tuju strategik hubungan Qatar-Singapura.

Kedua-dua negara bergilir-gilir menjadi hos jawatankuasa itu sejak sesi permulaan di Doha pada Oktober 2006.

Mesyuarat jawatankuasa keempat berlangsung di sini pada November 2010.

Hubungan Singapura dengan Qatar semakin erat dan berkembang kukuh dan kerjasama dua hala kini merangkumi pelbagai bidang seperti keselamatan, kesihatan, budaya, alam sekitar, kewangan serta perdagangan dan pelaburan. - BERNAMA

Artikel Lain